Images
  • arab league
    Helikopter tentera Turki terbang lalu di udara sedang pasukan Turki dan Amerika Syarikat kembali dari rondaan bersama AS-Turki di utara Syria pada 8 September 2019. (Gambar fail: Murad Sezer/REUTERS)

Liga Arab anjur mesyuarat tergempar berhubung serangan Turki terhadap kaum Kurdi

KAHERAH: Liga Arab bakal mengadakan mesyuarat tergempar Sabtu ini (12 Okt) untuk membincangkan serangan Turki terhadap tentera Kurdi di Syria.

Menurut Penolong Setiausaha Liga Hossam Zaki dalam satu kenyataan pada lewat Rabu (9 Okt), mesyuarat tersebut diadakan menyusuli permintaan daripada Mesir di mana menteri-menteri luar di rantau berkenaan akan berkumpul di Kaherah pada 12 Oktober "bagi membincangkan pencerobohan Turki ke atas wilayah Syria".

Pengumuman itu dibuat selepas Turki melancarkan serangan udara dan tembakan meriam di sepanjang sempadan dengan Syria yang sekali gus mendapat kecaman antarabangsa.

Dengan disokong militan Syria, Turki melancarkan serangan di Tal Abyad iaitu kawasan yang masih di bawah kawalan Unit Perlindungan Rakyat Syria (YPG).

Serangan dilakukan Turki berikutan peralihan dasar Amerika Syarikat (AS) yang menyaksikan negara itu mengundurkan tentera di utara Syria, sekali gus memberikan lampu hijau kepada Turki untuk melancarkan operasi ketenteraan.

Bagaimanapun, Hossam menyifatkan serangan tersebut sebagai "tidak dapat diterima ke atas kedaulatan negara anggota Arab yang mengeksploitasikan keadaannya dan melanggar undang-undang antarabangsa".

Dalam satu kenyataan pada awal Rabu, Liga Arab memberi amaran bahawa serangan besar-besaran itu akan membantu Daesh memperkukuhkan semula sebahagian pasukannya.

- AFP/FZ/fz

Top