Skip to main content

Iklan

Iklan

Dunia

Lewat buka kaunter, main telefon punca kastam Johor sesak

Lewat membuka kaunter pemeriksaan dan bermain telefon ketika bertugas adalah antara masalah disiplin dilakukan segelintir kakitangan Kompleks Imigresen, Kastam dan Kuarantin (CIQ) Johor Bahru sehingga sering berlaku kesesakan.

Anggaran Waktu Membaca:
Lewat buka kaunter, main telefon punca kastam Johor sesak

Gambar hiasan. (Gambar: AFP)

Diterbitkan : 19 Jun 2018 08:29AM Dikemas Kini : 19 Jun 2018 08:32AM

MUAR: Lewat membuka kaunter pemeriksaan dan bermain telefon ketika bertugas adalah antara masalah disiplin dilakukan segelintir kakitangan Kompleks Imigresen, Kastam dan Kuarantin (CIQ) Johor Bahru sehingga sering berlaku kesesakan.

Pengerusi Jawatankuasa Kerja Raya, Infrastruktur dan Pengangkutan Johor, Mazlan Bujang, memberitahu Berita Harian Malaysia bahawa maklum balas itu dikemukakan pelbagai pihak berkepentingan pengurusan CIQ dalam lawatan dan dialog yang diadakan minggu lalu.

Sehubungan itu, pihaknya akan menubuhkan Jawatankuasa Petugas Khas dipengerusikan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Stulang, Andrew Chen Kah Eng, bagi memantau operasi CIQ selain memberi cadangan untuk memperbaiki masalah tersebut.

"Masalah disiplin segelintir kakitangan operasi CIQ termasuk lewat membuka kaunter akibat datang lewat sehingga kaunter terpaksa ditutup selain bermain telefon pintar ketika bertugas, antara punca menyebabkan kesesakan CIQ.

"Ini adalah tuduhan yang serius terhadap isu disiplin kakitangan. Tidak ada gunanya untuk menyalahkan mana-mana pihak kerana terdapat banyak agensi yang beroperasi di CIQ dan ia saling berkait.

"Kita perlu memperbaiki keadaan di CIQ untuk memastikan dapat membantu mengurangkan kesesakan yang sering menjadi rungutan pengguna," katanya semasa ditemui BH Online di Majlis Rumah Terbuka ADUN Gambir Muhyiddin Yassin semalam (18 Jun).

Encik Mazlan menambah, antara cadangan yang disyorkan adalah meletakkan kamera litar tertutup (CCTV) di semua kaunter Imigresen di CIQ, bukan saja bagi pemantauan sebaliknya lebih kepada aspek keselamatan negara.

Katanya lagi, antara saranan lain bagi mengatasi kesesakan di CIQ termasuk mempunyai lebih ramai kakitangan, gantri, bonggol dan CCTV.

Selain Jabatan Imigresen, Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) juga menghadapi masalah kerana tidak mempunyai mesin pengimbasan mencukupi di CIQ manakala mesin pengimbas sedia ada sering rosak, sekali gus menyebabkan kesesakan, lapor BH Online.

Encik Mazlan berkata, antara penyelesaian yang disarankan bagi mengatasi masalah kesesakan CIQ termasuk kakitangan yang mempunyai masalah disiplin ditukarkan selain meminta bajet tambahan daripada kerajaan pusat bagi menambah lebih banyak lorong pemeriksaan. 

Sumber : Agensi berita/AQ/aq
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan