Skip to main content

Iklan

Iklan

Dunia

Letusan Gunung Agung: Indonesia keluar amaran tahap tertinggi, lapangan terbang Bali ditutup

Penerbangan ke Bali dibatalkan ekoran penutupan sementara lapangan terbang antarabangsa Ngurah Rai di Denpasar.

Anggaran Waktu Membaca:
Diterbitkan : 27 Nov 2017 12:00PM Dikemas Kini : 27 Nov 2017 10:38PM

BALI: Penerbangan ke Bali dibatalkan ekoran penutupan sementara lapangan terbang antarabangsa Ngurah Rai di Denpasar.

Ia dilakukan selepas tahap amaran letusan Gunung Agung dinaikkan ke paras tertinggi, di tengah-tengah kebimbangan satu letusan besar mungkin berlaku.

Agensi bencana nasional Indonesia hari ini (27 Nov) mengarahkan penduduk yang berada dalam lingkungan lapan hingga 10 kilometer di sekeliling kawasan gunung berapi berkenaan supaya berpindah dengan segera.

"Status amaran bagi Gunung Agung dinaikkan dari paras tiga kepada empat bermula 6.00 pagi, waktu tempatan (27 Nov)," kata Jurucakap Pusat Vulkanologi Mitigasi Bencana dan Geologi (PVMBG) Sutopo Purwo Nugroho dalam tweetnya pada pagi tadi.

Dalam satu lagi tweet berasingan, Encik Sutopo mengatakan lapangan terbang antarabangsa di Bali ditutup selama 24 jam - dari 7.00 pagi hari ini (27 Nov) hingga 7.00 pagi esok (28 Nov).

Menurut Pusat Penasihat Abu Gunung Berapi di Darwin, Australia, terdapat "abu di Lapangan Terbang Denpasar" serta abu di FL300 (paras tinggi 30,000 kaki bagi penerbangan) di sekitar gunung berapi.

"Memandangkan kami sudah melebarkan zon lingkungan keselamatan, maka jumlah orang yang berpindah juga akan meningkat tetapi kita tidak mempunyai data terkini," kata Encik Sutopo.

Abu dari Gunung Agung memenuhi ruang udara setinggi 3,400 meter awal pagi tadi (27 Nov).

Sekitar 25,000 penduduk yang tinggal berhampiran gunung itu sudah meninggalkan rumah mereka sejak Gunung Agung pertama mula memuntahkan asap pada Selasa lalu (21 Nov).

"BERIBU-RIBU" PENUMPANG TERJEJAS

Penutupan lapangan terbang Denpasar Bali dijangkakan menjejas "puluhan ribu" penumpang, kata jurucakap lapangan terbang, Arie Ahsanurrohim.

Syarikat penerbangan Singapore Airlines (SIA) menyatakan 10 penerbangan SIA dan SillkAir yang dijadual berlepas dari lapangan terbang Denspasar dan mendarat di lapangan terbang itu esok (28 Nov) sudah dibatalkan.

Penerbangan yang terjejas ialah SQ938, SQ939, SQ942, SQ943, SQ946, SQ947, SQ948, SQ949, MI176, MI175.

SIA menambah bahawa penumpang sudah buat tempahan untuk terbang ke Bali antara Selasa (28 Nov) dan Isnin depan (4 Dec) boleh menghubungi syarikat penerbangan itu untuk membuat tempahan baru atau mendapatkan wang kembali. Bagi penumpang yang ingin membuat penukaran pada tempahan mereka, tarikh penerbangan baru harus dibuat pada atau sebelum 31 Januari, menurut syarikat penerbangan itu.

Dalam catatan Facebook hari ini (27 Nov), Lapangan Terbang Changi berkata bahawa kedua-dua lapangan terbang di Bali dan Lombok akan ditutup sehingga mereka membuat pemberitahuan selanjutnya.

Bagaimanapun, sekitar pukul 8.20 pagi, seorang pegawai dari kementerian pengangkutan Indonesia mengatakan bahawa lapangan terbang Lombok yang ditutup sebelum ini dibuka semula sekitar jam 8.15 pagi.

Ia ditutup ekoran peningkatan aktiviti Gunung Agung yang menyebabkan 16 penerbangan terpaksa dibatalkan. 

Sumber : CNA/AQ/aq
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan