Skip to main content

Iklan

Iklan

Dunia

Letupan putuskan bekalan elektrik di Kabul, gugat kestabilan Afghanistan

Bekalan elektrik di ibu kota Afghanistan terputus akibat satu letupan pada Khamis (21 Okt), yang dilihat sebagai satu tindakan menggugat usaha Taliban mengembalikan kestabilan di negara itu sejak dua bulan mereka berkuasa.

Anggaran Waktu Membaca:
Letupan putuskan bekalan elektrik di Kabul, gugat kestabilan Afghanistan

Anggota Taliban berkawal di Kabul, Afghanistan, pada 20 Oktober 2021. (Gambar fail: WAKIL KOHSAR/AFP)

Diterbitkan : 22 Oct 2021 09:04AM Dikemas Kini : 22 Oct 2021 09:17AM

KABUL: Bekalan elektrik di ibu kota Afghanistan terputus akibat satu letupan pada Khamis (21 Okt), yang dilihat sebagai satu tindakan menggugat usaha Taliban mengembalikan kestabilan di negara itu sejak dua bulan mereka berkuasa.

Punca letupan belum dikenal pasti, namun disahkan sebagai serangan yang membuktikan militan tegar mengubah taktik pemberontakan terhadap Taliban.

"Beberapa jam lalu, satu letupan meletupkan tiang elektrik di Qala Murad Beg di wilayah Kabul, menjejaskan bekalan kuasa 220 kv yang diimport," kata syarikat tenaga Breshna dalam pemberitahuan kepada pelanggannya.

"Akibatnya bekalan elektrik terputus di Kabul serta beberapa wilayah lain."

Bekalan elektrik itu terputus pada kira-kira jam 6 petang waktu tempatan menjadikan Kabul bergelap, menjejas lebih 4.5 juta pengguna.

Penjana kuasa swasta hanya beroperasi di tempat-tempat perniagaan serta perumahan yang dihuni penduduk kaya.

Afghanistan bergantung sebahagian besar pada tenaga elektrik yang diimport dari negara jirannya,utara Uzbekistan dan Tajikistan.

Pemberontak menjadikan saluran kuasa yang merentasi negara sebagai sasaran utama.

Sepanjang 20 tahun Taliban menentang bekas pemerintah yang disokong Amerika Syarikat, kumpulan itu kerap menyerang infrastruktur tenaga kuasa.

Bagaimanapun selepas merampas kuasa pada pertengahan Ogos lalu, gerakan itu pula kini berdepan serangan bom daripada serangan kumpulan ISIS.

Menurut Breshna ia sudah menghantar jurutera ke kawasan terjejas dan memaklumkan jika keadaan membenarkan, mereka akan mula memperbaiki sambungan elektrik. 

Sumber : AFP/SU/tq
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan