Skip to main content

Iklan

Iklan

Dunia

Letupan bom bungkusan bunuh 5 di Myanmar termasuk ahli politik

Letupan daripada sekurang-kurangnya satu bom bungkusan di Myanmar mengorbankan lima orang, termasuk seorang anggota parlimen yang digulingkan dan tiga pegawai polis yang menyertai gerakan bantahan sivil yang menentang pemerintahan tentera, media tempatan melaporkan pada Selasa (3 Mei).

Anggaran Waktu Membaca:
Letupan bom bungkusan bunuh 5 di Myanmar termasuk ahli politik

Pergolakan di Myanmar sejak rampasan kuasa oleh pihak tentera (Gambar: AFP/Handout)

Diterbitkan : 04 May 2021 10:34PM Dikemas Kini : 04 May 2021 10:40PM

YANGON: Letupan daripada sekurang-kurangnya satu bom bungkusan di Myanmar mengorbankan lima orang, termasuk seorang anggota parlimen yang digulingkan dan tiga pegawai polis yang menyertai gerakan bantahan sivil yang menentang pemerintahan tentera, media tempatan melaporkan pada Selasa (3 Mei).

Sejak pemerintah pimpinan pemenang hadiah Nobel Aung San Suu Kyi digulingkan dalam rampasan kuasa pada 1 Februari, Myanmar menyaksikan peningkatan jumlah ledakan kecil di kawasan-kawasan perumahan, dan kadangkala menyasarkan pejabat pemerintah atau kemudahan tentera.

Letupan terbaru berlaku di sebuah kampung di bahagian tengah selatan Myanmar di barat Bago dan berlaku kira-kira pukul 5.00 petang pada Isnin (6.30 petang waktu Singapura), lapor portal Myanmar Now, memetik seorang penduduk.

Tiga letupan dicetuskan ketika sekurang-kurangnya satu bom bungkusan meledak di sebuah rumah di kampung itu, membunuh seorang anggota parlimen dari parti Liga Demokrasi Nasional (NLD) Aung San Suu Kyi, serta tiga pegawai polis dan seorang penduduk, menurut laporan itu.

Seorang pegawai polis lain yang terlibat dalam gerakan ketidakpatuhan sivil juga cedera parah setelah tangannya diletupkan oleh ledakan itu, menurut penduduk tersebut. Dia dimasukkan ke hospital dan sedang menerima rawatan, kata Myanmar Now.

Media Khit Thit juga melaporkan letupan itu, memetik seorang pegawai NLD yang tidak didedahkan namanya di daerah itu.

Reuters tidak dapat secara bebas mengesahkan laporan tersebut, dan jurucakap tentera tidak menjawab panggilan telefon untuk mengulas.

Keganasan terus meningkat sejak rampasan kuasa, dengan ratusan orang dilaporkan dibunuh pasukan keselamatan yang sedang cuba meleraikan bantahan penyokong demokrasi di bandar-bandar dan pekan. Kumpulan etnik bersenjata juga menyokong bantahan terhadap junta, dan tentera sedang memerangi kumpulan-kumpulan itu di kawasan sempadan Myanmar.

Pada Isnin, Tentera Kebebasan Kachin, sebuah kumpulan pemberontak etnik, mendakwa menembak jatuh sebuah helikopter tentera ketika pertempuran di wilayah utara dan timur makin sengit.

Media tempatan turut melaporkan seorang pentadbir tempatan yang dilantik junta ditikam mati di ibu kota, Yangon.

Pihak polis dan tentera tidak menjawab permintaan untuk mengulas.

Kumpulan advokasi Persatuan Bantuan bagi Tahanan Politik (AAPP) menyatakan pasukan keselamatan membunuh sekurang-kurangnya 766 orang awam sejak rampasan kuasa. Pihak junta mempertikaikan bilangan itu, dengan menyatakan sekurang-kurangnya 24 anggota pasukan keselamatan terbunuh dalam tunjuk perasaan.

Reuters tidak dapat mengesahkan angka korban secara bebas oleh kerana sekatan yang dikenakan terhadap media oleh pihak junta. Ramai wartawan adalah antara ribuan orang yang ditahan. 

Sumber : Reuters/TQ/tq
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan