Skip to main content

Iklan

Iklan

Dunia

Lembaga Pengampunan didakwa beri nasihat salah kepada Agong tentang pengampunan Anwar

Mahkamah Tinggi hari ini (14 Ogos) diberitahu bahawa Lembaga Pengampunan memberikan nasihat yang salah kepada Yang di-Pertuan Agong dalam memberikan pengampunan penuh kepada Presiden PKR Anwar Ibrahim yang dipenjara atas kesalahan meliwat bekas pembantu peribadinya.

Anggaran Waktu Membaca:
Lembaga Pengampunan didakwa beri nasihat salah kepada Agong tentang pengampunan Anwar

(Gambar: BERNAMA)

Diterbitkan : 14 Aug 2020 03:24PM Dikemas Kini : 14 Aug 2020 03:26PM

KUALA LUMPUR: Mahkamah Tinggi hari ini (14 Ogos) diberitahu bahawa Lembaga Pengampunan memberikan nasihat yang salah kepada Yang di-Pertuan Agong dalam memberikan pengampunan penuh kepada Presiden PKR Anwar Ibrahim yang dipenjara atas kesalahan meliwat bekas pembantu peribadinya.

Peguam Mohamed Haniff Khatri Abdulla, yang mewakili peguam Mohd Khairul Azam Abdul Aziz selaku plaintif berkata, komposisi Lembaga Pengampunan juga tidak teratur ketika itu. Maka nasihat yang diberikan oleh Lembaga Pengampunan kepada Yang di-Pertuan Agong adalah tidak sah.

"Dalam isu ini, yang salah adalah Lembaga Pengampunan dan bukannya Yang di-Pertuan Agong. Pihak kami mencabar nasihat yang salah diberikan oleh Lembaga Pengampunan kepada Yang di-Pertuan Agong di bawah Perkara 42 Perlembagaan Persekutuan," kata beliau ketika berhujah terhadap permohonan Encik Anwar dan Lembaga Pengampunan bagi membatalkan saman dikemukakan Encik Mohd Khairul Azam berhubung pengampunan penuh yang diberikan kepada presiden PKR itu.

Menurut Encik Haniff, pengampunan hanya boleh diberi kepada pesalah bertujuan untuk menamatkan atau menggantung sesuatu hukuman dan bukannya membatalkan sabitan yang diputuskan oleh mahkamah.

"Jika sesuatu sabitan itu dibatalkan, ia bermaksud kita memainkan peranan mahkamah kerana hanya mahkamah yang boleh mendengar (keterangan dan bukti). Mahkamah juga yang boleh membuat keputusan," tambah beliau.

TUNTUTAN REMEH YANG MENGAIBKAN, KATA PEGUAM ANWAR

Peguam J.Leela yang mewakili Encik Anwar pula berhujah bahawa pengampunan penuh yang diberikan oleh Yang di-Pertuan Agong tidak boleh dicabar di mahkamah dan plaintif (Mohd Khairul Azam) juga tidak mempunyai kedudukan di sisi undang-undang untuk meneruskan tindakan saman berkenaan.

"Tuntutan saman plaintif adalah remeh, mengaibkan serta suatu penyalahgunaan proses mahkamah," katanya yang turut memaklumkan bahawa, menurut Perkara 42 Perlembagaan Persekutuan, Yang di-Pertuan Agong boleh membatalkan sabitan yang diputuskan oleh mahkamah.

Peguam Kanan Persekutuan Natra Idris berkata pihaknya juga bersetuju dengan peguam Leela bahawa Perkara 42 Perlembagaan Persekutuan membolehkan Yang di-Pertuan Agong mengeluarkan perintah pengampunan untuk sabitan.

Hakim Datuk Akhtar Tahir kemudiannya menetapkan 21 Sep untuk keputusan permohonan itu dan mengarahkan kesemua pihak terlibat memfailkan hujahan lanjut, sekiranya ada sebelum atau pada 21 Ogos.

Pada 26 Feb, Encik Mohd Khairul Azam selaku plaintif memfailkan saman itu menerusi Tetuan Raja Riza & Associates dengan menamakan Lembaga Pengampunan dan Encik Anwar selaku defendan pertama dan kedua.

ANWAR DIDAKWA 'TERLEPAS' HUKUMAN DENGAN CARA SALAH

Mengikut penyataan tuntutan, Encik Mohd Khairul Azam berkata pada 10 Feb 2015, Mahkamah Persekutuan mengekalkan sabitan dan hukuman penjara lima tahun yang dijatuhkan oleh Mahkamah Rayuan terhadap Ahli Parlimen Port Dickson itu atas dakwaan meliwat bekas pembantu peribadinya, Mohd Saiful Bukhari Azlan.

Bagaimanapun, peguam itu mendakwa pada 9 Mei 2018 selepas Pilihan Raya Umum ke-14 dan kerajaan baru dibentuk, beberapa tindakan salah dan tidak berlandaskan perlembagaan dilaksanakan bagi memastikan Encik Anwar mendapat pengampunan dan dibebaskan daripada hukuman penjara yang sedang dijalaninya.

Dakwa plaintif, selepas dua hari kerajaan baru dibentuk, Perdana Menteri ketika itu, Dr Mahathir Mohamad, dalam sidang media pada 11 Mei 2018, mengumumkan bahawa Yang di-Pertuan Agong bersetuju memberikan pengampunan penuh kepada Anwar.

Encik Mohd Khairul Azam mendakwa pengampunan penuh yang diberikan kepada Anwar adalah bercanggah dengan Perkara 42(4) dan (5) Perlembagaan Persekutuan berikutan kuasa pengampunan oleh Yang di-Pertuan Agong hendaklah dilaksanakan dengan nasihat oleh Lembaga Pengampunan.

Dakwanya lagi, Lembaga Pengampunan belum dibentuk dengan sempurna selepas pembentukan kerajaan baru dan adalah mustahil bagi Lembaga Pengampunan dapat bersidang memberikan nasihat kepada YDPA bagi memberikan pengampunan kepada Anwar.

Oleh itu, plaintif antara lain memohon pengisytiharan bahawa Lembaga Pengampunan ditubuhkan secara tidak sah di sisi Perlembagaan Persekutuan bagi tujuan bersidang dan seterusnya menasihati Yang di-Pertuan Agong berkenaan rayuan pengampunan Encik Anwar, mengakibatkan nasihat yang diberikan kepada Yang di-Pertuan Agong adalah tidak sah dan terbatal.

Sumber : Bernama/AQ/aq
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan