Skip to main content

Iklan

Iklan

Dunia

Lelaki warga emas maut ditanduk kerbau

Seorang lelaki maut ditanduk seekor kerbau pada Isnin (9 Sep), yang menjadikannya orang kedua terbunuh sempena pesta kerbau di negara itu dalam tempoh kurang dua minggu, menurut pihak berkuasa.

Anggaran Waktu Membaca:
Lelaki warga emas maut ditanduk kerbau

Gambar hiasan. (Gambar: AFP)

Diterbitkan : 10 Sep 2019 11:03AM Dikemas Kini : 10 Sep 2019 11:18AM

MADRID: Seorang lelaki maut ditanduk seekor kerbau pada Isnin (9 Sep), yang menjadikannya orang kedua terbunuh sempena pesta kerbau di negara itu dalam tempoh kurang dua minggu, menurut pihak berkuasa.

Insiden tersebut berlaku semasa berlangsung acara larian kerbau di bandar Horche, kira-kira 60 kilometer dari timur laut Madrid.

Menurut pasukan kecemasan tempatan, haiwan tersebut menanduk mangsa yang berusia 82 tahun itu di bahagian perut dan paha.

Mangsa dibawa oleh ambulans ke hospital berdekatan namun meninggal dunia tidak lama kemudian.

Media tempatan melaporkan, mangsa hanya menyaksikan acara itu dari jauh, sebelum kejadian ngeri itu berlaku.

“Saya hanya melihat mangsa apabila beliau sudah terbaring di lantai namun kecederaan yang dialaminya itu amat mengerikan,” kata datuk bandar, Encik Jose Manual Moral kepada media tempatan.

Acara berkenaan bagaimanapun akan diteruskan hari ini (10 Sep) dan esok sebagai sebahagian daripada festival itu.

Seorang lelaki berusia 62 tahun maut pada 29 Ogos lalu apabila ditanduk di bahagian dada dan leher di acara serupa di bandar Cuellar di bahagian tengah Sepanyol.

Larian kerbau paling terkenal adalah semasa pesta San Fermin di Pamplona, utara Sepanyol yang menyaksikan beratus-ratus pengunjung dari seluruh dunia berlari di hadapan ratusan ekor kerbau di sepanjang jalan utama bandar berkenaan.

Seramai lapan orang ditanduk manakala 35 lagi cedera tahun ini dalam festival tersebut yang dipopularkan oleh novel karya Ernest Hemingway pada 1926 bertajuk ‘The Sun Also Rises’.

Sekurang-kurangnya 16 pengunjung terbunuh dalam acara larian kerbau di San Fermin sejak 1911, dengan kematian terakhir berlaku pada 2009.

Sumber : AFP/NA/na
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan