Skip to main content

Iklan

Iklan

Dunia

Lelaki mengaku bersalah hina Nabi Muhammad; Pendakwa Raya mohon hukuman berat dikenakan

Seorang lelaki yang sebelum ini mengaku tidak bersalah atas dua pertuduhan menghina Nabi Muhammad SAW, agama Islam dan Presiden PAS, Encik Abdul Hadi Awang di laman sosial Facebook, menukar pengakuan kepada bersalah di Mahkamah Sesyen di sini, hari ini (13 Jun).

Anggaran Waktu Membaca:
Lelaki mengaku bersalah hina Nabi Muhammad; Pendakwa Raya mohon hukuman berat dikenakan

Gambar fail kereta polis di Malaysia. (Gambar: Manan Vatsyayana/AFP)

Diterbitkan : 13 Jun 2019 10:57PM Dikemas Kini : 13 Jun 2019 11:00PM

KUALA LUMPUR: Seorang lelaki yang sebelum ini mengaku tidak bersalah atas dua pertuduhan menghina Nabi Muhammad SAW, agama Islam dan Presiden PAS, Encik Abdul Hadi Awang di laman sosial Facebook, menukar pengakuan kepada bersalah di Mahkamah Sesyen di sini, hari ini (13 Jun).

Danny Antoni, 28 tahun, membuat pengakuan itu selepas pertuduhan terhadapnya dibacakan semula di hadapan Hakim M.M Edwin Paramjothy semasa sebutan semula kes itu hari ini dan mahkamah menetapkan 17 Julai untuk menjatuhkan hukuman ke atas tertuduh.

Mengikut pertuduhan pertama, Danny didakwa memuat naik satu catatan menghina Nabi Muhammad SAW dan agama Islam yang mungkin boleh menyebabkan suasana tidak harmoni antara penganut Islam dan bukan Islam menggunakan laman profil 'Danny A'antonio Jr' dengan pada 1.21 pagi, pada 9 Januari.

Pertuduhan mengikut Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara maksimum lima tahun, jika sabit kesalahan.

Dia juga didakwa melakukan kesalahan sama terhadap Presiden PAS, Abdul Hadi Awang dengan niat sama pada tempat dan masa serupa mengikut Seksyen 233(1)(a) Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 yang boleh dihukum mengikut Seksyen 233(3) akta sama yang membawa hukuman denda maksimum RM50,000 (S$16,000) atau penjara maksimum setahun atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Kedua-dua catatan itu kemudian dibaca di Pejabat Bahagian Siasatan Jenayah Siber dan Multimedia, Jabatan Siasatan Jenayah Komersial, Ibu Pejabat Polis Bukit Aman, Menara KPJ, di sini, pada jam 10.00 pagi, 4 Mac lepas.

Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya Muhamad Asyaraf Md Kamal memohon hukuman berat mengambil kira kesalahan serius yang dilakukan tertuduh kerana sudah menjejaskan keharmonian negara.

“Tertuduh melakukan kesalahan serius dengan menggunakan ayat-ayat yang kasar dan kesat serta secara terang-terangan menghina agama Islam dan Nabi Muhammad SAW.

“Ayat-ayat yang digunakan oleh tertuduh berbentuk provokasi secara khususnya ditujukan kepada umat Islam sekaligus sudah menimbulkan rasa kurang senang dalam kalangan masyarakat,” katanya.

Danny yang diwakili peguam P.Rajsurian memohon hukuman penjara berjalan serentak bermula dari tarikh anak guamnya ditangkap dan mengambil kira tertuduh penanggung tunggal keluarga.

“Anak guam saya sudah insaf dan menyesal dengan kesalahan yang sudah dilakukannya. Anak guam saya juga memohon maaf kepada mahkamah,” kata peguam itu.

Sumber : Bernama/NA/na
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan