Skip to main content

Iklan

Iklan

Dunia

Lelaki maut 'disedut' mesin MRI

Seorang lelaki rakyat India meninggal dunia selepas beliau 'disedut' ke dalam mesin MRI semasa menziarahi seorang saudaranya di sebuah hospital di Mumbai.

Anggaran Waktu Membaca:
Lelaki maut 'disedut' mesin MRI

Gambar hiasan mesin MRI. (Gambar: MATTHEW SIMMONS / GETTY IMAGES NORTH AMERICA / AFP)

Diterbitkan : 29 Jan 2018 09:48PM Dikemas Kini : 31 Jan 2018 11:51PM

MUMBAI: Seorang lelaki rakyat India meninggal dunia selepas beliau 'disedut' ke dalam mesin MRI semasa menziarahi seorang saudaranya di sebuah hospital di Mumbai.

Demikian menurut polis India.

Rajesh Maru, 32 tahun, yang membawa silinder oksigen apabila memasuki wad di hospital itu, tiba-tiba 'ditarik' kuat ke mesin tersebut.

Beliau bagai 'dipaku' oleh tarikan magnet MRI yang kuat, menyukarkannya melepaskan diri.

"Kami sudah memberkas seorang doktor dan seorang lagi kakitangan junior di bawah seksyen 304 kanun keseksaan India kerana menyebabkan kematian akibat cuai," seorang jurucakap polis Mumbai Deepak Deoraj memberitahu AFP.

Insiden itu berlaku pada Sabtu (27 Jan) di Hospital Nair.

Menurut polis, siasatan awal menunjukkan Maru meninggal dunia kerana terhidu cecair oksigen yang bocor dari silinder tersebut, lapor AFP.

Silinder itu dikatakan rosak setelah terhentak pada mesin tersebut.

Encik Ramesh Bharmal, dekan hospital memberitahu AFP bahawa siasatan sudah dimulakan untuk menentukan punca sebenar kematian itu, sambil menambah rakaman CCTV insiden tersebut sudahpun diserahkan kepada polis.

Pakcik saudara mangsa berkata Maru diminta mengangkat silinder tersebut oleh seorang kakitangan junior yang memberi jaminan bahawa mesin tersebut sudah dimatikan.

"Kakitangan berkenaan yang sepatutnya mencegah berlakunya insiden itu memberitahu keluarga saya supaya masuk (ke dalam wad) sedangkan mesin tersebut masih hidup. Kami terkejut dan bersedih," Encik Jitendra Maru memberitahu AFP.

Pemerintah Maharashta, yang ibu kotanya adalah Mumbai, mengumumkan akan membayar pampasan 500,000 rupee (S$10,310) kepada keluarga mangsa.

Mesin pengimbas MRI menggunakan kuasa magnet yang kuat untuk menghasilkan gambar-gambar organ tubuh.

Oleh itu, objek-objek logam akan ditarik oleh mesin tersebut dan tidak boleh dibawa masuk ke dalam wad.

Pada tahun 2014, dua kakitangan hospital mengalami kecederaan setelah mereka terhempap antara mesin MRI dan tangki besi oksigen selama empat jam di sebuah hospital di New Delhi.

Pada tahun 2001, seorang budak lelaki berusia enam tahun yang sedang menjalani imbasan MRI di New York, terbunuh apabila sebuah tangki oksigen tiba-tiba 'terbang' ke arah mesin tersebut dan menghempap tempurung kepala budak berkenaan.

Sumber : Agensi berita/NK/nk
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan