Images
  • crime
    Gambar hiasan. (Gambar: AFP)

Lelaki maut dilanggar selepas disyaki curi pisang

KUANTAN: Seorang lelaki yang dikatakan terbabit dalam insiden mencuri, maut selepas dilanggar anak pemilik kebun pisang di Kampung Paya Lang, Mengkuang, Bera.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Pahang Othman Nayan, berkata bahawa lelaki berusia 25 tahun itu disahkan meninggal dunia di Klinik Kesihatan Triang, Bera pada jam 3.00 pagi semalam (14 Mac).

Beliau berkata, lelaki itu dipercayai dilanggar oleh anak pemilik kebun berkenaan yang datang ke kebun pada jam 2.00 pagi selepas dimaklumkan pekerjanya bahawa ada tiga lelaki menceroboh.

“Tiga lelaki itu bergegas melarikan diri dengan menaiki motosikal dan dikejar oleh suspek yang menggunakan kenderaan pacuan empat roda, bagaimanapun semua lelaki itu terlepas.

“Namun ketika dalam perjalanan pulang dari kebun kemudiannya, suspek dipercayai ternampak dua motosikal yang dikatakan serupa dengan motosikal lelaki yang dikatakan menceroboh, lalu terus dilanggarnya,” katanya.

Encik Othman berkata, polis kemudian menahan suspek yang berusia 22 tahun bersama dua rakan berusia 19 dan 22 tahun, serta seorang lelaki Indonesia berusia 47 tahun yang bekerja di kebun pisang itu.

Turut ditahan adalah dua rakan lelaki yang meninggal dunia yang berusia 31 dan 33 tahun bagi membantu siasatan berhubung aduan kecurian pisang yang dibuat suspek.

Beliau berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan bagi kesalahan membunuh yang boleh membawa hukuman mati mandatori dan Seksyen 379 kanun sama bagi kesalahan mencuri yang membawa hukuman penjara maksimum tujuh tahun atau dengan denda, atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan. 

- BERNAMA/SM/sm

Top