Skip to main content

Iklan

Iklan

Dunia

Lelaki mahu tarik balik pengakuan salah rogol remaja di kolong blok Pasir Ris

Seorang lelaki yang mengaku pada Oktober lalu merogol seorang remaja yang mabuk di kolong blok flat di Pasir Ris selepas satu permainan cabaran 'Truth or Dare' bertemakan seks, kini mahu menarik balik pengakuan salahnya.

Anggaran Waktu Membaca:
Lelaki mahu tarik balik pengakuan salah rogol remaja di kolong blok Pasir Ris

Petikan gambar dari Google Street View, Blok 557, Pasir Ris Street 51

Diterbitkan : 02 Dec 2019 01:19PM Dikemas Kini : 02 Dec 2019 01:24PM

SINGAPURA: Seorang lelaki yang mengaku pada Oktober lalu merogol seorang remaja yang mabuk di kolong blok flat di Pasir Ris selepas satu permainan cabaran 'Truth or Dare' bertemakan seks, kini mahu menarik balik pengakuan salahnya.

Lelaki itu juga belum membuat bayaran kepada peguamnya Marcus Tai dan Roy Sze yang memberitahu mahkamah tinggi pada Isnin (2 Dis) bahawa mereka akan menarik diri daripada kes itu.

Tertuduh berusia 19 tahun itu yang namanya tidak boleh didedahkan kerana perlu melindungi identiti remaja perempuan berusia 15 tahun itu, mengaku bersalah pada 31 Oktober atas tuduhan merogol remaja berkenaan.

Setelah berbuat demikian pada awal pagi 17 Oktober 2017 di bawah Blok 557, Pasir Ris Street 51, lelaki itu membantu kawannya dan seorang lagi tertuduh, yang gagal dalam percubaan merogolnya.

Timbalan Pendakwa Raya Winston Man memberitahu mahkamah penjatuhan hukuman bagi kes itu dijangka pada Isnin (2 Dis), namun pihak pembela berkata tertuduh memberitahunya pada pagi Isnin bahawa dia berniat menarik balik pengakuan salahnya.

"Arahan selanjutnya adalah dia berniat melantik peguam untuk tujuan ini dan membela dirinya," kata Encik Tai. "Malangnya, saya harus memberitahu mahkamah bahawa kami belum diberi bayaran untuk melakukan demikian."

Tertuduh menulis surat kepada hakim tetapi pihak pendakwa berkata apa yang ditulisnya tidak dianggap sebagai pembelaan diri.

"Secara teknikal, tertuduh belum memenuhi syarat minimum undang-undang bagi menyakinkan hakim untuk menarik balik rayuan," kata pendakwa raya.

Menurutnya lagi, meskipun tertuduh memohon peguam bela yang baru, pihak pendakwa raya akan membenarkan pengakuan bersalah itu kekal kerana buat masa ini "tiada alasan yang sah untuk menariknya balik."

Beliau berkata semua langkah kawal guna diperhatikan apabila tertuduh mengaku bersalah - dengan maksud rayuannya dijelaskan kepada tertuduh, peguam bela yang mewakilinya dan tertuduh berulang kali ditanya jika dia faham akan rayuannya.

Pada waktu itu, tertuduh hanya memohon hukuman ditangguhkan kerana perlu menjaga neneknya yang uzur, kata pendakwa raya.

Hakim Audrey Lim mengizinkan kedua-dua peguam bela menarik diri daripada kes dan juga memberi tertuduh satu bulan untuk mendapatkan khidmat peguam baru.

Hukuman bagi kesalahan merogol adalah tempoh penjara maksimum 20 tahun, denda atau sebat. Kes kedua membabitkan seorang lagi tertuduh yang turut mahu merogol remaja itu kini masih menunggu perbicaraan.

Sumber : CNA/HA/ha
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan