Skip to main content

Iklan

Iklan

Dunia

Lelaki Itali guna tangan palsu cuba elak disuntik vaksin

Seorang lelaki Itali yang mahukan sijil vaksin koronavirus tanpa benar-benar mendapatkan suntikan cuba menipu dengan menggunakan tangan palsu untuk divaksin, kata seorang pegawai pada Jumaat (3 Dis).

Anggaran Waktu Membaca:
Lelaki Itali guna tangan palsu cuba elak disuntik vaksin

(Gambar: AFP)

Diterbitkan : 04 Dec 2021 10:17PM Dikemas Kini : 04 Dec 2021 10:22PM

ROM: Seorang lelaki Itali yang mahukan sijil vaksin koronavirus tanpa benar-benar mendapatkan suntikan cuba menipu dengan menggunakan tangan palsu untuk divaksin, kata seorang pegawai pada Jumaat (3 Dis).

Meskipun warna lengan palsu itu kelihatan hampir sama dengan kulitnya, namun tiada sesiapa yang terperdaya dengan anggota badan diperbuat daripada silikon. Lelaki berusia 50-an tahun yang membawa lengan palsu itu dilaporkan kepada polis tempatan ekoran kejadian pada Khamis malam di Biella, barat laut Itali.

"Ini kes merepek dan tidak masuk akal," kata ketua pemerintah wilayah Piedmont, Albert Cirio, dalam satu kenyataan di Facebook.

"Hakikatnya tindakan lelaki itu tidak boleh diterima sama sekali terutama dengan pengorbanan masyarakat kita semasa pandemik, yang memberi kesan kepada nyawa manusia, kehidupan sosial dan ekonomi."

Insiden lengan palsu itu berlaku menjelang langkah lebih ketat dikuat kuasakan bermula Isnin di Itali terhadap mereka yang belum mengambil suntikan vaksin COVID-19.

Sejak Ogos lalu, "Pas Hijau" yang menunjukkan bukti vaksinasi, sembuh dari COVID-19 atau ujian negatif diperlukan untuk makan di luar, melawat muzium, pawagam, teater dan menghadiri acara sukan.

Bermula 6 Disember, kegiatan itu diperketat kepada pemegang "Pas Hijau Super", yang memberi hak kepada mereka yang sudah divaksin atau sembuh pulih daripada COVID-19.

Sekatan baru itu - yang mencetuskan bantahan kecil-kecilan di pusat bandar di merata Itali pada hujung minggu - diperkenalkan ekoran peningkatan kes COVID-19, diburukkan lagi sejak beberapa hari lalu oleh kemunculan varian baru Omicron.

Itali adalah negara Eropah pertama yang terkesan teruk dengan pandemik itu pada awal 2020, tetapi keadaannya jauh lebih baik berbanding kebanyakan negara jirannya.

Hampir 85 peratus penduduknya berusia 12 tahun ke atas sudah divaksin dan minggu ini, suntikan vaksin penggalak pula diberikan kepada golongan dewasa. 

Sumber : AFP/TQ/tq
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan