Images
  • popcorn
    Gambar fail. (Gambar: Shutterstock)

Lelaki ini nyaris kehilangan nyawa gara-gara cuba cungkil bertih jagung terselit pada gigi

BRITAIN: Sisa bertih jagung yang terselit pada gigi nyaris meragut nyawa seorang lelaki berusia 41 tahun apabila ia menyebabkan jangkitan pada jantung yang memerlukan pembedahan utama.

Pasukan perubatan yang merawat anggota bomba, Adam Martin percaya percubaan beliau mengeluarkan sisa makanan yang terselit di celah giginya menggunakan pelbagai objek - termasuk cungkil gigi, penutup pen, wayar dan paku - menyebabkan jangkitan yang membawa kerosakan pada injap jantung.

Setelah menjalani dua pembedahan utama, Encik Martin kini beransur pulih dengan injap jantung yang baru.

"Doktor katakan jika saya tidak berjumpa dengannya, saya mungkin mati dalam masa tiga hari," kata Encik Martin.

Doktor yang merawat Encik Martin mengesan bunyi desiran pada jantung. Ujian darah kemudian mendedahkan tanda-tanda jangkitan.

Tidak lama kemudian, kesan berwarna merah jambu timbul pada ibu jari kaki Encik Martin.

Bersama desiran jantung dan jangkitan yang dialami, simptom itu didiagnos sebagai Janeway lesion - tanda bahawa jantungnya menghadapi bahaya jangkitan serius.

Disebabkan jangkitan itu sudah merebak dan tidak dapat dirawat menggunakan ubat antibiotik, Encik Martin perlu menjalani dua pembedahan besar bagi menggantikan injap aorta yang rosak, merawat injap mitral dan membersihkan nanah.

Yang pasti, Encik Martin menyesali tindakannya cuba mengeluarkan sendiri sisa bertih jagung yang terselit pada celah giginya.

Isterinya menulis dalam Facebook: "Sebarang tanda sakit gigi, gusi berdarah, nanah, pergi berjumpa doktor.

"Jika anda menghadapi 'simptom selesema', anda harus menulis tarikh ia berlaku. Jika jangkitan Martin dapat dikesan terlebih awal, ia boleh dirawat menggunakan antibiotik.

"Gusi anda merupakan laluan bakteria ke jantung anda!"

- Agensi berita/HA/ha

Top