Skip to main content

Iklan

Iklan

Dunia

Lelaki ini berdiri di tengah jalan, edar CV dan akhirnya dapat lebih 200 tawaran kerja

Ikhtiar menjalani, untung menyudahi. Itulah nasib seorang lelaki yang bertekad untuk mendapatkan pekerjaan selepas hampir setahun menganggur.

Anggaran Waktu Membaca:
Lelaki ini berdiri di tengah jalan, edar CV dan akhirnya dapat lebih 200 tawaran kerja

David sorot perhatian ramai selepas seorang pengguna Twitter memuat naik gambarnya ke laman media sosial. (Gambar: Jasmine Scofield/ Twitter)

Diterbitkan : 03 Aug 2018 07:32PM Dikemas Kini : 03 Aug 2018 07:37PM

CALIFORNIA: Ikhtiar menjalani, untung menyudahi. Itulah nasib seorang lelaki yang bertekad untuk mendapatkan pekerjaan selepas hampir setahun menganggur.

Kalau lazimnya pemohon kerja sibuk menghantar emel ke syarikat-syarikat, David Casarez pula memilih untuk 'memasarkan' dirinya di tengah jalan raya.

Berpakaian kemas, beliau mengedarkan vitae kurikulumnya (CV), atau keterangan ringkasnya, dalam keadaan panas terik, di tengah-tengah jalan raya.

Gambar David menjadi tular di laman Twitter selepas seorang pengguna Twitter melihatnya memegang kadbod yang tertulis: "TIADA TEMPAT BERTEDUH. DAHAGAKAN KEJAYAAN. SILA AMBIL CV SAYA."

SISWAZAH DENGAN IMPIAN BESAR

Selama sebulan, David terpaksa tidur di bangku sebuah taman di Mountain View, California, lapor Daily Mail.

Siswazah berusia 26 tahun itu lulus daripada sebuah universiti tempatan pada 2014 dan bekerja sebagai seorang pembangun laman web bagi sebuah syarikat di Austin selama tiga tahun sebelum berhenti bekerja tahun lalu dan berpindah ke Silicon Valley untuk cuba membangunkan syarikatnya sendiri. David selama ini memendam impian besar untuk membangunkan sebuah syarikat teknologi.

Malangnya, usaha David gagal dan wang yang diketepikan menipis manakala hutang semakin menggunung. Lantaran itu, David mula mencari pekerjaan, lapor Daily Mail. Namun, pasaran kerja pada ketika itu tidak begitu baik.

Pada Jun 2015, karavan yang didiaminya selama lebih setahun dirampas kerana beliau gagal membayar hutang. Ini membuat David terpaksa hidup merempat.

Tidak melihat semua itu sebagai satu hambatan untuk mencapai kejayaan, David meneruskan kehidupan dan tidak putus asa mencari pekerjaan.

Siapa sangka pada hari seorang pemandu meminta izin untuk mengambil gambarnya bagaikan membuka lembaran baru dalam hidupnya. Pada hari itu, David berdiri di tengah-tengah jalan raya selama beberapa jam ketika Jasmine Scofield berhenti dan mengambil gambarnya.

TERIMA LEBIH 200 TAWARAN KERJA

(Gambar: Jasmine Scofield/ Twitter)

Cik Jasmine kemudian memuat naik gambar David dan CVnya ke laman Twitter pada hari yang sama dan menulis: "Hari ini saya terjumpa seorang anak muda yang tidak mempunyai tempat berteduh dan mempelawa orang ramai mengambil CVnya dan tidak meminta sedekah. Sila RT jadi kami boleh membantu David!"

Tanpa disangka-sangka, posting Cik Jasmine dikongsi lebih 50,000 pengguna Twitter pada keesokan harinya.

"Saya benar-benar terkejut. Saya tidak menjangkakan respons seperti itu," kata Cik Jasmine kepada Daily Mail.

Dalam tempoh dua hari sahaja, David menerima lebih 200 tawaran kerja - dari syarikat-syarikat termasuk gergasi teknologi Google, Netflix dan LinkedIn.

"Banyak lagi syarikat lain. Pandora. Dan beberapa syarikat pemula," ujar David.

"Seorang pengurus dari Bitcoin.com bertanya jika saya ingin bekerja dengannya dan berpindah ke Tokyo."

Sokongan orang ramai, tambah David, memberi harapan baru selepas beliau seolah-olah tidak mempunyai pilihan lain.

"Saya sempat berfikir bahawa ini ikhtiar terakhir saya. Jika ia tidak berhasil, saya akan pulang dan tidak meneruskan impian saya," kata David.

David bagaimanapun tidak mendedahkan rancangan selanjutnya. Yang pasti, beliau tidak perlu lagi tidur di atas bangku di taman.  

Sumber : Agensi berita/AQ/aq
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan