Images
  • hospital corridor bw file
    Gambar hiasan (Gambar: Ante Samarzija/Unsplash)

Lelaki India ditemui hidup setelah semalaman dalam peti sejuk bilik mayat

NEW DELHI: Seorang lelaki warga India yang diisytiharkan meninggal dunia selepas kemalangan jalan raya, mengejutkan saudara-maranya yang mendapati dia masih bernafas walaupun semalaman berada di dalam peti sejuk bilik mayat hospital.

Encik Srikesh Kumar dikejarkan ke sebuah klinik dalam keadaan kritikal selepas dilanggar sebuah motosikal di Moradabad, di timur ibu negara New Delhi.

Dia dibawa ke kemudahan perubatan swasta di mana dia disahkan meninggal dunia oleh doktor sejurus sampai di sana dan kemudian dibawa ke hospital kerajaan untuk bedah siasat pada Jumaat (19 Nov).

"Pegawai perubatan kecemasan memeriksanya. Dia tidak menemui sebarang tanda-tanda masih bernyawa dan oleh itu mengisytiharkan dia sebagai meninggal dunia," kata Encik Rajendra Kumar, penguasa perubatan hospital tersebut, kepada AFP pada Ahad.

Doktor itu berkata polis dimaklumkan dan mayat itu dimasukkan ke dalam peti sejuk bilik mayat sehingga keluarganya tiba enam jam kemudian.

"Apabila sepasukan polis dan keluarganya tiba untuk memulakan kertas kerja bedah siasat, dia ditemui masih hidup," tambahnya.

Encik Rajendra Kumar berkata, lelaki berusia 45 tahun itu sedang menjalani rawatan lanjut tetapi masih dalam keadaan koma.

"Ini sememangnya satu keajaiban," tambahnya.

Siasatan sedang dijalankan untuk menentukan bagaimana doktor tersilap mengisytiharkan lelaki itu sebagai sudah meninggal dunia.

- AFP/TQ/tq

Top