Skip to main content

Iklan

Iklan

Dunia

Lelaki guna kapak pecahkan pintu bangunan parlimen New Zealand

Polis menyatakan seorang lelaki yang bersenjatakan sebilah kapak memecahkan pintu kaca yang merupakan pintu masuk bangunan Parlimen New Zealand pada Rabu (13 Jan), tetapi tidak cuba memasuki bangunan tersebut.

Anggaran Waktu Membaca:
Lelaki guna kapak pecahkan pintu bangunan parlimen New Zealand

(Gambar: AP)

Diterbitkan : 13 Jan 2021 01:25PM Dikemas Kini : 13 Jan 2021 01:28PM

WELLINGTON: Polis menyatakan seorang lelaki yang bersenjatakan sebilah kapak memecahkan pintu kaca yang merupakan pintu masuk bangunan Parlimen New Zealand pada Rabu (13 Jan), tetapi tidak cuba memasuki bangunan tersebut.

Menurut polis, para pegawainya dikerahkan ke kompleks tersebut di ibu kota Wellington pada sekitar 5.30 pagi (12.30 tengah malam waktu Singapura) selepas menerima aduan mengenai seorang lelaki yang dilihat sedang membawa sebilah kapak.

Lelaki berusia 31 tahun itu diberkas tanpa berlaku sebarang kejadian dalam masa sekitar 10 minit.

"Lelaki itu menyebabkan kerosakan pada panel-panel kaca tetapi tidak cuba memasuki bangunan," menurut polis.

Seramai 120 penggubal undang-undang New Zealand sedang bercuti sempena musim panas dan hanya terdapat segelintir individu dalam bangunan berkenaan ketika itu.

Lelaki itu didakwa atas tuduhan menyebabkan kerosakan dengan sengaja dan memiliki senjata berbahaya. Jika didapati bersalah, dia boleh dihukum penjara sehingga tujuh tahun.

Serangan di parlimen dan ke atas para penggubal undang-undang jarang berlaku di New Zealand, sebuah negara yang mempunyai seramai lima juta penduduk dan para menteri dan pegawai utama pemerintah bebas berintegrasi dengan orang ramai di kedai dan kafe di sekitar Wellington.

Sumber : AP/HA/ha
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan