Images
  • crime

Lelaki ditahan ugut simbah asid, toreh muka isteri

GEORGE TOWN: Polis menahan seorang lelaki kerana mengugut mahu menyimbah asid dan menoreh muka isterinya jika wanita itu menuntut cerai dalam kejadian di rumah mereka di Relau, pada awal pagi Jumaat (8 Feb).

Ketua Polis Daerah Timur Laut, ACP Che Zaimani Che Awang berkata lelaki berusia 52 tahun itu ditahan jam 1.45 tengah hari semalam (9 Feb) di rumahnya di Relau berikutan aduan polis dibuat isterinya.

"Menurut isteri lelaki itu, semasa berada di rumah mereka pukul 6.00 pagi Jumaat, suspek bertindak menekan muka mangsa dan mengugut akan menyimbah asid serta menoreh muka wanita itu jika dia mahu bercerai.

"Mangsa yang berusia 51 tahun membuat aduan polis berhubung kejadian berkenaan kerana bimbang keselamatan dirinya sebelum polis berjaya menahan suami wanita itu semalam," katanya di sini hari ini.

Katanya lelaki itu direman untuk siasatan lanjut dan kes berkenaan disiasat menurut Kanun Keseksaan.

- BERNAMA/NA/na

Top