Images
  • hanta virus
    (Gambar: Reuters)

Lelaki dilapor mati akibat hantavirus di China

ANKARA: Ketika penularan pandemik COVID-19 menurun di China, seorang rakyat dari negara itu dilaporkan maut akibat hantavirus yang juga satu lagi jenis penyakit berjangkit.

Menurut agensi berita Anadolu yang memetik laporan akhbar harian China, The Global Times, pada Selasa (24 Mac), mangsa adalah seorang lelaki yang berasal dari wilayah barat daya Yunnan.

“Seorang lelaki dari wilayah Yunnan meninggal dunia ketika dalam perjalanan pulang ke wilayah Shandong untuk bekerja di dalam sebuah bas sewa pada Isnin lalu,” lapor akhbar itu.

Tambahnya, 32 lagi penumpang bas itu kemudian menjalani saringan kesihatan, namun maklumat mengenai hasil ujian tersebut tidak dinyatakan.

Penyakit bawaan virus itu kali pertama dilaporkan di Amerika Syarikat (AS) pada 1993 di mana ia dipindahkan kepada manusia oleh tikus.

Menurut Pusat Pencegahan dan Kawalan Penyakit yang berpangkalan di Amerika, pemindahan virus itu daripada manusia ke manusia tidak pernah ditemui kecuali di Argentina pada 1996 apabila wujud pandangan bahawa ‘hantavirus di Amerika Selatan boleh dipindahkan dari manusia ke manusia’.

Perkembangan terbaru itu berlaku ketika seluruh dunia sedang bergelut untuk membasmi wabak COVID-19.

Berbanding COVID-19 yang mempunyai simptom seperti batuk, demam dan kesukaran bernafas, jangkitan hantavirus dalam badan akan mengakibatkan kelesuan, sakit otot serta sakit kepala. 

- Agensi berita/NA/na

Top