Images
  • white house
    Gambar fail Rumah Putih di Washington. (Gambar: REUTERS/Yuri Gripas/Files)

Lelaki didakwa rancang serang Rumah Putih dengan roket

AMERIKA SYARIKAT: Seorang lelaki 21 tahun dari Georgia diberkas dan didakwa dengan tuduhan berkomplot untuk menyerang Rumah Putih menggunakan roket anti-kereta kebal, menurut Jabatan Keadilan Amerika Syarikat pada Rabu (16 Jan).

Hasher Jallal Taheb dari Cumming, ditangkap di Gwinnett County pada Rabu dan dihadapkan ke mahkamah persekutuan di Atlanta bagi kes yang difailkan oleh FBI. Demikian menurut peguam daerah Georgia, Byung Pak kepada para wartawan.

"Dia dituduh berniat untuk menyerang Rumah Putih dan beberapa sasaran lain di Washington, D.C. menggunakan bahan letupan, termasuk bom buatan sendiri dan roket anti-kereta kebal," kata Encik Pak kepada para wartawan.

Semua ancaman berjaya ditangani, menurut kenyataan Encik Pak.

Menurut kenyataan FBI, tuduhan ke atas Taheb adalah hasil siasatan selama setahun, yang "dijalankan berdasarkan maklumat orang awam."

Menurut aduan tersebut, Taheb memberitahu sumber FBI bahawa dia sedang memohon pasport Amerika Syarikat yang baru selepas pasportnya hilang. Kerana tidak dapat ke luar negara, Taheb berkata "dia berhasrat melakukan serangan di Amerika Syarikat ke atas sasaran seperti Rumah Putih dan Patung Liberty," menurut aduan itu.

Taheb juga memberitahu sumber FBI bahawa tindakan itu adalah satu-satunya cara untuk mencapai matlamatnya.

- Reuters/TQ/tq

Top