Skip to main content

Iklan

Iklan

Dunia

Lelaki curi-curi masuk wad COVID-19, menyamar jadi doktor untuk jaga nenek

Bimbang sekiranya kakitangan perubatan mengabaikan neneknya yang sedang dirawat bagi COVID-19 di hospital, seorang lelaki warga Rusia menyelinap masuk ke dalam wad nenek beliau dengan menyamar sebagai doktor untuk menjaga warga tua itu sendiri.

Anggaran Waktu Membaca:
Lelaki curi-curi masuk wad COVID-19, menyamar jadi doktor untuk jaga nenek

Gambar hiasan (Gambar: AP)

Diterbitkan : 31 Oct 2021 08:57PM Dikemas Kini : 31 Oct 2021 09:01PM

MOSCOW: Bimbang sekiranya kakitangan perubatan mengabaikan neneknya yang sedang dirawat bagi COVID-19 di hospital, seorang lelaki warga Rusia menyelinap masuk ke dalam wad nenek beliau dengan menyamar sebagai doktor untuk menjaga warga tua itu sendiri.

Beliau bahkan merakamkan video seluruh proses tersebut.

Sergei, yang enggan mendedahkan nama keluarganya, berkata beliau menyarung pakaian perlindungan di luar hospital di bandar Tomsk, Siberia, sebelum memasuki hospital. Beliau menjaga neneknya selama tiga hari dengan menyuap makan, memberi ubat dan membersihkan wanita itu.

Operasi sulit lelaki itu dimulakan ketika hospital di kawasan tersebut bergelut dengan gelombang kes yang menyebabkan angka harian korban pandemik melonjak ke paras tertinggi sepanjang masa.

Pihak berkuasa menyatakan ia sedang menyiasat aduan lelaki itu.

Sergei, yang berkongsi ceritanya dalam satu wawancara di televisyen Rusia baru-baru ini, berkata beliau bertekad untuk bertindak sedemikian selepas para pesakit lain memberitahu bahawa nenek beliau diabaikan oleh kakitangan perubatan hospital.

"Saya pergi (ke hospital) dan bertanya mengapa nenek saya tidak diberi makan, mengapa beliau dalam keadaan begitu. Mereka berkata semuanya baik-baik sahaja. Saya tanya jika saya boleh tandatangani beberapa surat untuk menjaganya sendiri tetapi mereka berkata itu tidak dibenarkan," ungkap Sergei, seorang penduduk Tomsk.

Sergei terfikir untuk pergi ke polis selepas permintaannya itu ditolak namun sebaliknya, beliau memutuskan untuk mengambil tindakan sendiri.

"Mereka pergi kepadanya hanya apabila saya berkata: Saya seorang doktor. Lekas, bersihkan, bantu beliau'. Maksud saya, saya membersihkan segalanya untuk nenek. Hanya ada satu orang yang membantu. Saya tahu nama beliau tetapi saya tidak tahu nama keluarganya dan saya tidak akan sebut peranannya di hospital itu," ujar Sergei.

Beliau menambah, perbuatannya menyamar sebagai doktor terbongkar selepas tiga hari menjaga neneknya. Ini apabila neneknya perlu dipindahkan ke wad yang berbeza.

Alyona Levko, seorang timbalan gabenor daerah di Tomsk, berkata sebuah suruhanjaya tempatan sudahpun ditubuhkan untuk menyiasat insiden tersebut.

Hospital Tomsk bagaimanapun tidak segera memberikan respons kepada Reuters apabila diminta untuk mengulas insiden itu.

"Ia bukan satu kes terpencil. Ramai orang terjejas," kata Sergei.

Sejak temu bual di televisyen Rusia itu disiarkan, Sergei memberitahu Reuters beliau menerima ancaman daripada orang tidak dikenali. Sergei berkata beliau kini sedang cuba untuk memfailkan aduan tentang keadaan di hospital itu kepada penguat kuasa undang-undang.  

Sumber : Reuters/FZ/fz
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan