Images
  • handcuff (2)
    Gambar fail seseorang digari. (Gambar: Reuters) 

Lelaki cuba langgar polis diberkas, seorang lagi suspek diburu

BUKIT MERTAJAM: Polis menahan seorang lelaki dan sedang memburu rakannya kerana cuba melanggar beberapa anggota polis yang mahu membuat pemeriksaan ke atas kereta yang mereka dinaiki dalam kejadian berhampiran pasar di Jalan Muthu Palaniappan, Bukit Mertajam, pada Selasa (13 Ogos).

Timbalan Ketua Polis Daerah Seberang Perai Tengah (SPT) Superintenden Mustafa Bidin berkata dalam kejadian kira-kira 4.30 petang itu, sepasukan polis yang sedang menjalankan rondaan pencegahan jenayah di kawasan berkenaan ternampak sebuah kereta Myvi dinaiki dua lelaki dalam keadaan mencurigakan.

"Pegawai polis berpangkat inspektor berkenaan kemudian menghampiri kereta itu dan memperkenalkan diri dengan menunjukkan kad kuasa terhadap pemandu kenderaan tersebut, namun mereka bertindak agresif untuk meloloskan diri dengan cuba melanggar polis yang ingin membuat pemeriksaan," terangnya.

Beliau berkata pegawai polis dan beberapa anggotanya yang berada berhampiran kereta itu terkejut dengan tindakan lelaki tersebut dan bernasib baik kerana sempat mengelak daripada dilanggar.

Menurut Supt Mustafa, polis kemudiannya bertindak mengejar kereta Myvi tersebut sejauh kira-kira lima kilometer dan berjaya menghentikannya berdekatan sebuah rumah kedai serta berlaku pergelutan sebelum polis menahan penumpang kereta berusia 49 tahun itu.

Bagaimanapun, Supt Mustafa berkata, pemandu kereta itu yang bertindak agresif berjaya melarikan diri dengan memecut laju kereta Perodua Myvi yang disewa dua lelaki berkenaan sejak Selasa lalu.

Beliau menambah semasa polis mengejar kenderaan dinaiki dua lelaki itu, pemandu kereta Myvi tersebut bertindak melanggar beberapa buah kereta dan motosikal yang diletakkan di kawasan kejadian untuk meloloskan diri sehingga menyebabkan beberapa kenderaan di situ mengalami kerosakan.

“Ujian air kencing mendapati lelaki yang ditahan itu positif dadah dan turut memiliki empat rekod jenayah lampau manakala rakannya yang telah dikenal pasti identitinya itu mempunyai lima rekod jenayah lampau," kata Supt Mustafa.

Beliau menambah usaha memburu lelaki berusia 31 tahun itu giat dijalankan.

- BERNAMA/FZ/fz

Top