Skip to main content

Iklan

Iklan

Dunia

Lelaki ceroboh dan mencuri di masjid dipenjara 5 bulan

Padah menceroboh dan mencuri di sebuah masjid, seorang lelaki yang mempunyai tujuh rekod jenayah, dijatuhi hukuman penjara selama lima bulan oleh Mahkamah Majistret Selayang hari ini (14 Mei).

Anggaran Waktu Membaca:
Lelaki ceroboh dan mencuri di masjid dipenjara 5 bulan

(Gambar hiasan: Channel NewsAsia)

Diterbitkan : 14 Apr 2021 06:49PM Dikemas Kini : 14 Apr 2021 06:51PM

KUALA LUMPUR: Padah menceroboh dan mencuri di sebuah masjid, seorang lelaki yang mempunyai tujuh rekod jenayah, dijatuhi hukuman penjara selama lima bulan oleh Mahkamah Majistret Selayang hari ini (14 Mei).

Majistret Nur Hafizah Rajuni menjatuhkan hukuman itu ke atas Sharuddin Nazardin, 42 tahun, selepas dia mengaku bersalah menceroboh dan mencuri di Masjid Nurul Iman, Kampung Kenanga Batu 18, Rawang, Selangor antara 12.15 dan 12.30 tengah malam pada 6 April lalu.

Sharuddin dijatuhi hukuman penjara empat bulan bagi pertuduhan menceroboh manakala hukuman penjara lima bulan untuk pertuduhan mencuri, namun mahkamah memerintahkan kedua-dua hukuman itu berjalan serentak bermula tarikh tangkap pada 11 April lalu.

Mengikut pertuduhan pertama, tertuduh didakwa telah menceroboh dengan memasuki kawasan dalam masjid berkenaan dan naik ke atas atap masjid sementara itu bagi pertuduhan kedua pula, Sharudin didakwa mencuri telefon bimbit, lima helai baju pagoda, 10 helai seluar, satu beg silang, tiga peranti mudah alih dan wang tunai RM150 (S$49) milik kakitangan masjid itu yang kesemuanya bernilai RM700 (S$230).

Pertuduhan pertama adalah mengikut Seksyen 447 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara sehingga enam bulan atau dengan denda maksimum RM3,000 (S$971) atau kedua-duanya, sementara pertuduhan kedua pula, adalah di bawah Seksyen 379 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara maksimum tujuh tahun atau dengan denda.

Mengikut fakta kes, pada masa kejadian, tertuduh memasuki kawasan masjid dengan cara memanjat ke atas bumbung dan memecahkan atap masjid.

Tertuduh juga telah memasuki sebuah bilik kabin masjid tersebut semasa pengadu sedang tidur dan telah mencuri barang-barang seperti yang dilaporkan dalam pertuduhannya.

Ketika mengemukakan rayuan, tertuduh yang tidak diwakili peguam merayu dikenakan hukuman berbentuk denda yang ringan dengan alasan dia menanggung ibu bapanya.

Bagaimanapun, Timbalan Pendakwa Raya, Nur Shasha Hidayah Nor Azahar memohon mahkamah mengenakan hukuman yang setimpal dengan alasan tertuduh mempunyai tujuh rekod jenayah sejak 2015.

“Sebelum ini tertuduh pernah dihukum bagi pelbagai kesalahan antaranya mencuri dan berkaitan dadah,” katanya. 

Sumber : Bernama/NA/na
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan