Skip to main content

Iklan

Iklan

Dunia

Lelaki berkorban nyawa demi selamatkan anak bongsunya dari kebakaran

Anaknya itu sedang duduk di atas dada mangsa semasa Allahyarham Ahmad Fakhrurazi ditemui.

Anggaran Waktu Membaca:
Lelaki berkorban nyawa demi selamatkan anak bongsunya dari kebakaran

Ahmad Fakhrurazi Shafie, berusia 45 tahun. (Gambar: Rika Novia Zayardin/Facebook)

Diterbitkan : 12 Jan 2018 12:22AM Dikemas Kini : 12 Jan 2018 12:25AM

KUALA TERENGGANU: Pengorbanan bapa membawa ke liang lahad.

Tragedi kebakaran sebuah rumah jenis kembar dua tingkat (semi D) di Kuala Ibai, dekat sini pagi tadi (11 Jan)mengorbankan Timbalan Ketua Cawangan UMNO Kuala Ibai, Ahmad Fakhrurazi Shafie, berusia 45 tahun, selepas cuba menyelamatkan anak lelaki bongsunya, Muhammad Aqil Harith, berusia 3 tahun, dalam kebakaran tersebut.

Anaknya itu sedang duduk di atas dada mangsa semasa Allahyarham Ahmad Fakhrurazi ditemui.

Ibu mangsa, Tengku Maznah Tengku Sulong, 73, berkata beliau yang duduk berdekatan pada mulanya tidak menyedari kejadian tersebut yang dikatakan berlaku pada kira-kira 8.30 pagi.

Beliau hanya menyedari kejadian itu apabila dimaklumkan oleh seorang cucunya bahawa mangsa pengsan selepas selamatkan Muhammad Aqil.

“Anak saudara arwah yang paling besar beritahu saya ‘Acik’ (mangsa) pengsan dan bila saya pergi tengok arwah dah habis umur (meninggal dunia).

“Anak lelaki arwah yang paling kecil duduk atas dada arwah iaitu semasa arwah lari keluar dia memeluk anaknya sebelum arwah jatuh dan terus tidak sedarkan diri,” katanya ketika ditemui media di kediamannya di sini.

ISTERI SEDANG MENGANDUNG 4 BULAN

Difahamkan ketika kejadian arwah hanya tinggal berdua bersama anak bongsunya manakala isteri mangsa, Tengku Mastura Tengku Ahmad, 38 tahun, yang sedang mengandung empat bulan sudah keluar bekerja dan tiga lagi anaknya sudah ke sekolah.

Jenazah arwah disemadikan di Tanah Perkuburan Islam Gong Pauh, petang tadi (11 Jan).

Sementara itu, anak saudara arwah Ahmad Syahir Azizi Ahmad Zulfa, 18 tahun, berkata beliau dalam perjalanan ke tempat kerja di kawasan berdekatan, melihat asap tebal tetapi beranggapan bahawa ada orang membakar sampah.

“Bila saya masuk dalam rumah tempat saya kerja saya dengar cermin tingkap pecah dan asap keluar.

“Saya terus keluar pergi tengok dan melihat arwah yang dalam keadaan pucat sudah terbaring dengan anaknya...saya cuba sedarkan arwah berulang kali tetapi gagal. Saya difahamkan arwah disahkan meninggal dunia sebaik pasukan perubatan tiba untuk memberi rawatan kecemasan,” katanya.

Sementara itu, Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Terengganu, Azlimin Mat Noor, berkata pihaknya menerima panggilan 8.45 pagi sebelum 18 anggota bersama dua jentera dihantar ke lokasi kejadian.

Beliau berkata, api marak membakar kediaman ketika pasukan penyelamat tiba.

“Kami mengambil 10 minit untuk mengawal kebakaran daripada merebak ke rumah bersebelahan dan dianggarkan kebakaran tersebut melibatkan kemusnahan 50 peratus rumah itu, manakala punca dan jumlah kerugian masih dalam siasatan," katanya.

Menurut Encik Azlimin lagi kebakaran tersebut hanya melibatkan ruangan bawah rumah berkenaan, tetapi kesan bahang panas kebakaran tersebut sampai ke tingkat atas rumah, katanya. 

Sumber : Bernama/DIWAI/nk
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan