Images
  • vw beetle
    (Gambar: SCMP)

Lelaki berkali-kali rempuh kereta SUV di tempat letak kereta

QINGYANG: Seorang lelaki di barat laut China ditahan kerana berkali-kali merempuh kereta lain selepas terlibat dalam satu pertelingkahan di tempat letak kereta.

Menurut agensi berita Kankanews, insiden itu berlaku pada petang Selasa (12 Jun) ketika sebuah kereta jenis Beetle Volkswagen bertembung dengan Nissan SUV di kawasan tempat letak kereta.

Penumpang kereta Beetle - yang dikenal pasti sebagai seorang lelaki berusia 35 tahun, kemudian keluar dari keretanya untuk memeriksa jika ada sebarang kerosakan. Ketika melakukan itu, dia sempat menendang kereta Nissan berkenaan.

Pemandu kereta Nissan kemudian keluar daripada keretanya, dan kedua-duanya mula bergaduh.

Tidak lama kemudian, keadaan 'reda sedikit' dan mereka kembali ke kereta masing-masing, lapor South China Morning Post (SCMP).

Namun, penumpang kereta Beetle masih tidak puas hati. Dia seharusnya kembali ke tempat duduk penumpang. Sebaliknya dia menggantikan isterinya yang sebelum itu memandu kereta tersebut.

Dia kemudian merempuh kereta Nissan yang tidak bergerak. Bukan itu sahaja, dia undur dan merempuh kereta itu sebanyak tujuh kali.

Insiden itu dirakam oleh kamera CCTV dan dikongsi online.

Dalam rakaman tersebut, isteri pemandu kereta Beetle itu kelihatan sedang cuba menahannya daripada merempuh kereta berkenaan. Namun, menurut SCMP, usahanya gagal.

Polis dimaklumkan tentang insiden itu dan pemandu kereta Beetle ditahan.

Para pegawai ditukil sebagai berkata bahawa tindakannya mengakibatkan kerosakan teruk pada kereta Nissan, selain mengganggu trafik dan kententeraman awam di kawasan itu.  

- Agensi berita/AQ/aq

Top