Skip to main content

Iklan

Iklan

Dunia

Lelaki 34 tahun ditahan; sebar berita palsu virus Wuhan di M'sia

Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) dengan kerjasama Polis Diraja Malaysia (PDRM) menahan seorang suspek yang disyaki menyebarkan kandungan berita palsu mengenai penularan virus korona baru 2019.

Anggaran Waktu Membaca:
Lelaki 34 tahun ditahan; sebar berita palsu virus Wuhan di M'sia

Ikon aplikasi media sosial (Gambar: Reuters)

Diterbitkan : 29 Jan 2020 12:10PM Dikemas Kini : 29 Jan 2020 12:43PM

KUALA LUMPUR: Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) dengan kerjasama Polis Diraja Malaysia (PDRM) menahan seorang suspek yang disyaki menyebarkan kandungan berita palsu mengenai penularan virus korona baru 2019.

Menurut kenyataan MCMC hari ini (29 Jan), suspek berumur 34 tahun itu ditahan di kediamannya di Bangi, Selangor pada pukul 4.00 petang pada Selasa (28 Jan) bagi membantu siasatan terhadap satu kandungan yang dimuat naik ke laman Facebook pada 26 Jan 2020.

“Kandungan mengenai virus korona itu didapati palsu. Turut dirampas adalah telefon bimbit dan kad SIM milik suspek yang dipercayai digunakan untuk memuat naik berita palsu tersebut ke laman Facebook terbabit.

“MCMC dan PDRM mengambil serius perbuatan ini dan sedang giat mengesan tiga lagi suspek untuk membantu siasatan. lni menunjukkan ketegasan kedua-dua pihak dalam memastikan tindakan sewajarnya dikenakan terhadap mereka yang memulakan, berkongsi dan menyebarkan berita palsu melalui platform media sosial,” tegas MCMC.

Menurut MCMC lagi, suspek disiasat di bawah Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia (AKM) 1998 yang memperuntukkan hukuman denda maksimum RM50,000 (S$16,000) atau penjara tidak melebihi tempoh satu tahun atau kedua­duanya dan juga boleh didenda selanjutnya RM1,000 (S$332) bagi setiap hari kesalahan itu diteruskan selepas pendakwaan.

“Tindakan tegas ini adalah salah satu usaha MCMC dan PDRM untuk mengawal penyebaran berita tidak sahih mengenai virus korona oleh individu yang tidak bertanggungjawab sehingga mampu mengganggu dan menggugat kestabilan negara dan ketenteraman awam,” menurut MCMC.

Pada Isnin lalu (27 Jan), MCMC dan PDRM memberi amaran bahawa tindakan tegas akan dikenakan terhadap mereka yang menyebarkan kandungan khabar angin atau berita yang tidak sahih mengenai penularan virus korona di Malaysia.

Menurut kenyataan itu lagi, penyebar khabar angin atau berita palsu dengan niat hendak menyebabkan ketakutan atau kegentaran awam pula boleh didakwa di bawah Seksyen 505 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga dua tahun atau denda atau kedua-duanya, jika didapati bersalah.

Sumber : Bernama/HA/ha
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan