Skip to main content

Iklan

Iklan

Dunia

Lelaki 18 tahun asal Chechnya disyaki suspek penggal kepala guru di Perancis

Individu disyaki memenggal kepala seorang guru Perancis, yang menunjukkan kartun Nabi Muhammad kepada anak-anak muridnya, adalah lelaki berusia 18 tahun dan berasal dari Chechnya. Demikian menurut sumber kehakiman pada Sabtu (17 Okt).

Anggaran Waktu Membaca:
Lelaki 18 tahun asal Chechnya disyaki suspek penggal kepala guru di Perancis

Lokasi seorang guru mati dipenggal di Conflans St Honorine dekat pinggir bandar Paris, Perancis, pada 16 Okt 2020. (Gambar: Charles Platiau/REUTERS)

Diterbitkan : 17 Oct 2020 11:05PM Dikemas Kini : 17 Oct 2020 11:07PM

PARIS: Individu disyaki memenggal kepala seorang guru Perancis, yang menunjukkan kartun Nabi Muhammad kepada anak-anak muridnya, adalah lelaki berusia 18 tahun dan berasal dari Chechnya. Demikian menurut sumber kehakiman pada Sabtu (17 Okt). Presiden Emmanuel Macron menyifatkan insiden itu sebagai "serangan pengganasan Islam".

Polis sudahpun menahan sembilan individu berhubung serangan pada Jumaat itu yang berlaku berhampiran sekolah di mana guru itu bekerja di Conflans-Saint-Honorine, sebuah pinggir bandar terletak kira-kira 30 kilometer dari barat laut tengah Paris.

Penyerang itu ditembak oleh polis dan kemudian mati akibat kecederaannya.

Polis menyatakan mangsa adalah seorang guru sejarah berusia 47 tahun bernama Samuel Paty yang menunjukkan kartun-kartun itu sebagai sebahagian daripada perbincangan kelas tentang kebebasan berucap dan ini mencetuskan aduan daripada ibu bapa.

Empat daripada saudara suspek - dua saudara lelaki dan datuk neneknya - pada awalnya ditahan polis bagi siasatan.

Sumber kehakiman memberitahu AFP pada Sabtu bahawa lagi lima orang ditahan termasuk ibu bapa seorang kanak-kanak di sekolah berkenaan.

Menurut sumber tersebut, ibu bapa tersebut memberi isyarat bahawa mereka tidak bersetuju dengan keputusan guru itu untuk mempamerkan kartun-kartun tersebut.

Tiga lagi orang baru yang ditahan adalah individu dalam kalangan lingkungan sosial suspek.

Dokumen pengenalan yang ditemui pada suspek itu menunjukkan dia seorang anak kelahiran Moscow berusia 18 tahun tetapi berasal dari rantau barat Rusia, Chechnya.

Penyerang itu melaungkan "Allahu Akbar" apabila polis bersemuka dengannya, laungan yang sering diungkapkan penyerang jihad, menurut sumber polis.

Satu sumber dekat dengan kes siasatan itu menyatakan tiada petanda bahawa suspek adalah seorang radikal.

Pasukan pendakwa antikeganasan Perancis menyatakan kes pembunuhan itu akan dibicarakan sebagai serangan yang ada kaitan dengan kumpulan pengganas.

Polis menyatakan ia sedang menyiasat satu ciapan Twitter yang dimuat naik oleh sebuah akaun yang kini sudahpun ditutup di mana ia menunjukkan gambar kepala guru berkenaan.

Ia bagaimanapun tidak jelas sama ada mesej itu, yang mengandungi ancaman terhadap Macron - menggambarkannya sebagai "pemimpin orang kafir" - dimuat naik oleh penyerang itu, menurut polis.

Macron, ketika turun melawat lokasi kejadian, berkata "seluruh bangsa" berdiri teguh membela guru-guru dan bahawa "kekaburan tidak akan menang".

Pejabat Macron menyatakan pada Sabtu satu "penghormatan negara" akan diadakan untuk memperingati Paty.  

Sumber : AFP/FZ/fz
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan