Ledakan Gunung Sinabung "paling kuat" tahun ini
Gunung Sinabung di Indonesia meletus dengan begitu kuat minggu ini, juga yang paling kuat bagi tahun ini, sekaligus mengeluarkan gas dengan debu yang menjulang ke udara.
JAKARTA: Gunung Sinabung di Indonesia meletus dengan begitu kuat minggu ini, juga yang paling kuat bagi tahun ini, sekaligus mengeluarkan gas dengan debu yang menjulang ke udara.
Demikian menurut seorang pegawai tempatan hari ini (29 Dis).
Sejak gunung itu kembali 'hidup' pada tahun 2010 setelah menyepi selama 400 tahun, ia kerap meledak sejak tahun 2015, menyebabkan lebih 3,000 keluarga kehilangan tempat tinggal.
Letusan yang berlaku Rabu lalu (27 Dis) disifatkan sebagai "paling kuat tahun ini, berdasarkan jarak serpihan batu-batu kecil yang dimuntahkan oleh gunung itu dan saiz kawasan yang diselaputi debu," Ketua Agensi Bencana tempatan, Nata Nail memberitahu AFP.
Ribuan orang terjejas oleh debu gunung di pulau Sumatera itu namun tiada yang dilaporkan cedera parah kerana zon-zon bahaya sudah dikosongkan lebih awal, kata jurucakap agensi pengurusan bencara Indonesia Sutopo Purwo Nugroho.
Ledakan itu memuntahkan debu ke lereng-lereng Gunung Sinabung, sekaligus menyebabkan tanam-tanaman musnah.
Pada bulan Mei tahun lalu tujuh orang terkorban apabila Gunung Sinabung meletus, manakala 16 orang maut akibat ledakan pada bulan Februari 2014.
Gunung Agung di Bali, juga bersiap sedia meletus sejak bulan September, memaksa 140,000 penduduk di kawasan itu berpindah dan lapangan terbang ditutup.
Indonesia terletak dalam Lingkaran Gunung Berapi Pasifik, di mana beberapa plat tektonik bertemu dan menyebabkan berlakunya 90 peratus daripada kegiatan seismik di dunia, menurut Jabatan Kajian Geologi Amerika Syarikat.
Indonesia mempunyai hampir 130 gunung berapi yang aktif, melebihi mana-mana negara lain.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.