Skip to main content

Iklan

Iklan

Dunia

Ledakan gunung berapi NZ: 8 mangsa masih hilang

Perdana Menteri New Zealand Jacinda Ardern meluahkan "dukacita yang sukar untuk diungkapkan" pada Selasa (10 Dis) terhadap pelancong yang terperangkap dalam letusan maut gunung berapi di White Island di mana lima orang maut dan lapan lagi dikhuatiri mati.

Anggaran Waktu Membaca:
Ledakan gunung berapi NZ: 8 mangsa masih hilang

Pemandu pelancong memindahkan pelawat dengan menaiki sebuah bot sejurus selepas gunung berapi meletus di White Island, New Zealand, pada 9 Dis 2019. (Gambar: @SCH menerusi REUTERS)

Diterbitkan : 10 Dec 2019 08:51AM Dikemas Kini : 10 Dec 2019 08:53AM

WHAKATANE: Perdana Menteri New Zealand Jacinda Ardern meluahkan "dukacita yang sukar untuk diungkapkan" pada Selasa (10 Dis) terhadap pelancong yang terperangkap dalam letusan maut gunung berapi di White Island di mana lima orang maut dan lapan lagi dikhuatiri mati.

Cik Ardern menyatakan tiada harapan untuk hidup bagi lapan orang yang masih hilang itu selepas tragedi Isnin (9 Dis). Beliau berkata peninjauan dari udara yang dilakukan sepanjang malam tidak menemui sebarang tanda mangsa.

"Tumpuan pagi ini adalah terhadap penemuan semula dan memastikan polis boleh melakukannya dengan selamat," kata Cik Ardern dalam satu sidang media.

Dalam kalangan mangsa yang hilang dan cedera adalah pelancong dari Australia, Amerika Syarikat, Britain, China serta Malaysia selain pemandu pelancong warga New Zealand.

Di samping lima mangsa maut dan lapan lain yang hilang, Cik Ardern berkata 31 orang yang berada di pulau itu semasa bencana berlaku dimasukkan ke hospital dengan pelbagai kecederaan termasuk kelecuran serius.

Beberapa jam setelah letupan gunung itu, polis mendapati risiko terlalu tinggi untuk menjalankan usaha menyelamat di darat.
Jurucakap polis Bruce Bird berkata sebuah helikopter berlegar di kawasan itu selama 45 minit untuk memeriksa jika ada mangsa yang masih hidup namun gagal menemui sesiapa.

Keprihatinan terhadap keselamatan menghambat usaha untuk menarik keluar mayat-mayat mangsa.

"Kami hanya akan pergi ke pulau itu apabila ia selamat untuk pegawai kami," kata Bird.

Sebilangan besar mangsa dipercayai adalah warga Australia.

Sewaktu letusan berlaku, gunung berapi tersebut dikunjungi sekumpulan pelawat lebih 30 orang dari sebuah kapal pesiaran Royal Caribbean, Oviation of the Seas, yang meninggalkan Sydney minggu lalu untuk pelayaran 12 hari.

Perdana Menteri Australia Scott Morrison berkata 24 rakyat Australia adalah dalam kalangan mereka yang mengikuti lawatan ke gunung berapi tersebut.
Pesuruhjaya Tinggi Britain di New Zealand berkata dua daripada warganya sedang menerima rawatan.

Ledakan di gunung berapi White Island - juga dikenali sebagai Whakaari - berlaku sejurus selepas jam 2.00 petang semalam (0100 GMT), memuntahkan abu putih tebal setinggi 3.6 kilometer ke udara.

Pulau itu terletak sekitar 50 kilometer dari luar pesisir Bay of Plenty dan menarik kira-kira 10,000 pengunjung setiap tahun.

Beberapa saat sebelum letupan berlaku, rakaman kamera secara langsung menunjukkan sebuah kumpulan lebih enam orang berjalan di lereng kawah. Kemudian, rakaman terpadam dan hanya gelap-gelita.

Tahap ancaman di gunung berapi itu sudahpun ditingkatkan beberapa hari lalu dan kini timbul tanda tanya sama ada ia selamat untuk kumpulan pelawat mengunjungi tempat tersebut.

Cik Ardern berkata terdapat soalan-soalan wajar untuk diajukan tetapi mereka mungkin menanti sehingga respons kecemasan selesai dijalankan.  

Sumber : AFP/FZ/fz
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan