Skip to main content

Iklan

Iklan

Dunia

Lebuh Raya Pan Borneo pemangkin wisata pantai timur Sabah

Pelaksanaan projek Lebuh Raya Pan Borneo Sabah bagi Zon Timur melibatkan laluan Kinabatangan hingga Telupid, bakal menjana perkembangan sektor pelancongan di kawasan pantai timur negeri itu.

Anggaran Waktu Membaca:
Lebuh Raya Pan Borneo pemangkin wisata pantai timur Sabah

Lebuhraya Borneo dari Batu 32 Sandakan ke Kinabatangan. (Gambar: BERNAMA)

SANDAKAN: Pelaksanaan projek Lebuh Raya Pan Borneo Sabah bagi Zon Timur melibatkan laluan Kinabatangan hingga Telupid, bakal menjana perkembangan sektor pelancongan di kawasan pantai timur negeri itu.

Bagi Presiden Persatuan Pelancongan Sandakan CK Teo, memiliki sistem jalan raya atau lebuh raya yang baik mampu menarik lebih ramai pelancong domestik dan antarabangsa berkunjung ke destinasi menarik di pantai timur Sabah.

“Ketika ini jalan raya yang menghubungkan kawasan pantai timur Sabah ke Kota Kinabalu banyak rosak, perjalanan juga menjadi sukar kerana jalan raya ini cuma dibina dengan satu lorong dan ada jalan tertentu berlaku tanah runtuh, jalan mendap serta berlubang selain tiada lampu jalan pada waktu malam dan kesemua masalah ini boleh menjadi punca berlakunya kemalangan.

“Pelancong sudah tentu mahu perjalanan yang selesa dan bukan 'memeritkan', sehingga ada melahirkan persepsi 'cukup sekali pergi' kerana jalan teruk, kerajaan perlu memberi perhatian terhadap isu jalan raya di kawasan pantai timur Sabah,” katanya kepada Bernama.

Menurutnya lagi, banyak destinasi pelancongan menarik terletak di pantai timur Sabah dan misalnya Pusat Pemuliharaan Beruang Madu Borneo dan Taman Pulau-Pulau Penyu, termasuk Pusat Pemuliharaan Orang Utan di Sandakan.

“Ketika ini hakikat yang perlu diterima ialah setiap kali saya terpaksa mengeluarkan kos perbelanjaan membaiki kereta selepas perjalanan berulang-alik dari Sandakan ke Kota Kinabalu kerana perlu 'meredah' jalan teruk antara kawasan Sandakan hingga Telupid.

Pengusaha pelancongan akua di Pulau Sakar Lahad Datu, Irunji Parija berkata jika siap lebuh raya itu sudah pasti memberi keselesaan kepada pelancong yang memandu dari Kota Kinabalu ke pantai timur, sekali gus tidak risau memikirkan kereta rosak akibat terlanggar lubang atau 'terbang' selepas melalui jalan mendap.

“Keadaan jalan raya yang sempurna juga akan mempercepatkan pergerakan dari satu satu destinasi pelancongan ke satu destinasi pelancongan lain, misalnya pelancong dari Ranau mahu ke Gua Gomantong di Kinabatangan dan selepas itu menikmati destinasi pelancongan lain pula di Lahad Datu,” katanya lagi.

Beliau berkata Lebuh Raya Pan Borneo Sabah merupakan projek pembangunan infrastruktur yang berimpak tinggi dan perlu disiapkan kerana menjadi impian penduduk Sabah memiliki jalan raya yang sempurna.

Lebuh Raya Pan Borneo Sabah terdiri daripada tiga fasa projek dan sebagai permulaan sebanyak 35 pakej kerja dirangka dilaksanakan dalam fasa satu projek membabitkan jarak 706 kilometer.

Empat pakej baru Projek Lebuhraya Pan Borneo Sabah Zon Timur yang dijangka siap pada 2024, bakal dilancar Perdana Menteri Ismail Sabri Yaakob hari ini (6 Nov).

Sementara itu, Presiden Dewan Perniagaan Cina Lahad Datu Tan Cheng Teng berkata pelaksanaan projek berkenaan bukan sahaja menjadi pemangkin kepada sektor pelancongan tetapi turut sama menjana ekonomi penduduk setempat.

“Dengan sistem jalan raya yang baik di semua tempat banyak aktiviti pelancongan boleh dilaksanakan antaranya sukan pelancongan, misalnya penganjuran acara berbasikal terkenal Le Tour de Langkawi, dilakukan di pantai timur Sabah.

“Sudah tentu adanya aktiviti sukan pelancongan ini akan membawa masuk ekonomi kepada pengusaha penginapan, restoran dan lain-lain,” katanya sambil turut berharap dua lagi fasa projek Lebuh Raya Pan Borneo dapat dilaksanakan dengan segera.

Sumber : Bernama/HA/ha
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan