Skip to main content

Iklan

Iklan

Dunia

Lebih sebulan warga Syria ini terkandas di KLIA2 bak filem 'The Terminal'

Watak Viktor Navorski dalam filem The Terminal yang terkandas di Lapangan Terbang Antarabangsa John F. Kennedy gara-gara pergolakan politik di tanah airnya menjadi kenyataan.

Anggaran Waktu Membaca:
Lebih sebulan warga Syria ini terkandas di KLIA2 bak filem 'The Terminal'

Hassan Kontar di KLIA2. (Gambar: Kerin Wenger/Facebook)

Diterbitkan : 23 Apr 2018 11:08AM Dikemas Kini : 23 Apr 2018 11:12AM

KUALA LUMPUR: Watak Viktor Navorski dalam filem The Terminal yang terkandas di Lapangan Terbang Antarabangsa John F. Kennedy gara-gara pergolakan politik di tanah airnya menjadi kenyataan.

Bak filem arahan Steven Spielberg itu, seorang warga Syria yang berusia 36 tahun dilaporkan Reuters terkandas di terminal Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA2) selama lebih sebulan.

Sejak 7 Mac lalu, Hassan al Kontar terpaksa tinggal di lapangan terbang berkenaan kerana bimbang ditangkap jika dihantar pulang ke Syria dek perang saudara yang sudah berlarutan selama lebih tujuh tahun.

"Saya takut dihantar pulang ke Syria bukan disebabkan saya seorang pengecut, bukan kerana saya tidak tahu berlawan tetapi kerana saya tidak percaya dengan peperangan," katanya kepada Reuters menerusi Skype.

"Saya tidak mahu menjadi mesin pembunuh, memusnahkan rumah sendiri dan menyakiti rakyat sendiri," jelas beliau.

MENGHARAPKAN BELAS KASIHAN KAKITANGAN

Agensi pelarian Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) mengesahkan bertemu Hassan, namun berkata, pihaknya tidak dapat mengulas kes individu.

“UNHCR sedar kes ini dan sudah menghubungi individu dan pihak berkuasa,” kata Yante Ismail, jurucakap agensi itu di Kuala Lumpur dalam satu kenyataan.

Menurut Reuters, Hassan merupakan seorang penjual insurans dan tinggal di Amiriah Arab Bersatu (UAE) apabila peperangan meletus di Syria.

Beliau mendakwa diusir ke Kuala Lumpur pada 2016 selepas kedutaan Syria di UAE enggan memperbaharui pasportnya

"Mereka mengusir saya ke Malaysia kerana ia antara segelintir negara yang menerima warga Syria tanpa visa," kata beliau.

Menurut Hassan, beliau bergantung kepada kebaikan kakitangan lapangan terbang dan syarikat penerbangan untuk makanan serta bekalan keperluan lain.

MUNGKIN DIBENARKAN TINGGAL SEBULAN DI MALAYSIA

Nasib malang yang menimpa Hassan mengundang simpati orang ramai, termasuk pihak kerajaan Malaysia.

Baru-baru ini, Timbalan Menteri Dalam Negara, Datuk Nur Jazlan berkata bahawa kementeriannya maklum tentang kes Hassan yang kian viral di media sosial.

"Kementerian akan mempertimbangkan untuk memberi lelaki tersebut pas khas di bawah Program Penempatan Sementara Pelarian Syria di sini (Malaysia) yang sudah dilaksanakan sejak dua tahun lalu," katanya kepada The Star.

Beliau selanjutnya berkata bahawa Hassan perlu menjalani proses penapisan yang sama seperti pendatang Syria yang lain.

"Kita perlu berhati-hati untuk membuat pertimbangan permohonan (seperti ini) khususnya daripada rakyat Timur Tengah yang sedang menghadapi peperangan," katanya.

"Kita tidak mahu membawa masuk sebarang ancaman ISIS ke dalam negara kita," jelas Datuk Jazlan.  

Sumber : Agensi berita/SM/sm
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan