Skip to main content

Iklan

Iklan

Dunia

Lebih baik waspada walau ziarah Hari Raya dibenarkan, kata Menteri Malaysia

Orang ramai dinasihat agar mengambil langkah berwaspada dalam sebarang urusan yang ingin dilakukan semasa menyambut Hari Raya Aidilfitri hujung minggu ini, walaupun ada perkara yang telah mendapat kebenaran pihak berwajib. 

Anggaran Waktu Membaca:
Lebih baik waspada walau ziarah Hari Raya dibenarkan, kata Menteri Malaysia

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri. (Gambar: BERNAMA)

Diterbitkan : 21 May 2020 11:36PM Dikemas Kini : 21 May 2020 11:40PM

KUALA LUMPUR: Orang ramai dinasihat agar mengambil langkah berwaspada dalam sebarang urusan yang ingin dilakukan semasa menyambut Hari Raya Aidilfitri hujung minggu ini, walaupun ada perkara yang telah mendapat kebenaran pihak berwajib. 

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri berkata dalam situasi negara yang sedang berdepan dengan pandemik COVID-19 ini, lebih wajar jika orang ramai berhati-hati (elak) agar tidak berlaku perkara yang tidak diingini. 

"Contohnya, soal ziarah kubur pada hari raya. Perkara itu (ziarah kubur) tidak menjadi masalah jika orang ramai patuh SOP (Prosedur Operasi Standard) yang ditetapkan, dari segi penjarakan dengan bilangan yang tidak ramai. Menteri Kanan (Keselamatan), Ismail Sabri juga ada jelaskan, ianya boleh, cuma tidak digalakkan. 

"Namun ia terpulang kepada arahan dikeluarkan oleh negeri masing-masing kerana jika arahan ziarah kubur itu tidak dibenarkan (di sesetengah negeri) ia dibuat dengan matlamat untuk menghindari jangkitan wabak COVID-19," katanya kepada pemberita. 

Beliau berkata demikian bagi menjelaskan mengenai kewajaran aktiviti ziarah hari raya serta melawat kubur ketika negara berdepan COVID-19, ketika ditemui selepas majlis sumbangan barangan keperluan asas untuk 'JAWI Food Bank' yang disampaikan Duta Besar China ke Malaysia, Bai Tian di Kompleks Pusat Islam.
Mengulas lanjut Dr Zulkifli berkata, jika terdapat perkara yang di antara keduanya iaitu 'larangan dan kebenaran', masyarakat diseru untuk memilih bersikap waspada sebagai langkah berjaga-jaga. 

"Sama juga dengan aktiviti berziarah mengunjungi saudara terdekat pada hari raya, walaupun ada SOP dengan jumlah ditetapkan, namun bagi mengelakkan isu-isu (lain) timbul lebih baik duduk di rumah sahaja," katanya. 

Sumber : Bernama/HA/ha
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan