Skip to main content

Iklan

Iklan

Dunia

Lebih 90 sekolah agama di Johor Bahru ditutup 2 minggu

Semua sekolah agama kerajaan Johor diarahkan tutup mulai Ahad ini (1 Nov) selama dua minggu susuli pengumuman penutupan kesemua institusi pendidikan selepas Johor Bahru diisytiharkan zon merah COVID-19 pada Jumaat (30 Okt).

Anggaran Waktu Membaca:
Lebih 90 sekolah agama di Johor Bahru ditutup 2 minggu

Gambar: BERNAMA

Diterbitkan : 31 Oct 2020 08:37AM Dikemas Kini : 31 Oct 2020 08:42AM

JOHOR BAHRU: Semua sekolah agama kerajaan Johor diarahkan tutup mulai Ahad ini (1 Nov) selama dua minggu susuli pengumuman penutupan kesemua institusi pendidikan selepas Johor Bahru diisytiharkan zon merah COVID-19 pada Jumaat (30 Okt).

Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Agama Islam Johor Tosrin Jarvanthi berkata penutupan itu turut membabitkan 91 sekolah agama kerajaan dan 67 institusi swasta meliputi madrasah tahfiz swasta, sekolah rendah Islam swasta dan sekolah menengah Islam swasta.

“Turut terlibat dengan penutupan itu adalah semua Tadika Islam Johor, Kolej Marsah Johor, Maahad Johor, pusat-pusat tahfiz dan madrasah yang berdaftar dengan Jabatan Agama Islam Negeri Johor (JAINJ), semua sekolah agama persendirian yang berdaftar dengan JAINJ dan kelas-kelas pengajian Al-Quran di bawah guru-guru Al-Quran JAINJ,” menurut beliau.

Tambahnya, arahan penutupan turut merangkumi mana-mana pusat tahfiz, pondok dan madrasah yang belum berdaftar dengan JAINJ.

Sementara itu, Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Johor Zaiton Ismail berkata sebanyak 265 buah Taman Bimbingan Kanak-Kanak (Tabika) dan empat Taman Asuhan Kanak-Kanak (Taska) di bawah seliaan Jabatan Kemajuan Masyarakat (Kemas) yang berada di dalam zon merah Johor Bahru turut ditutup, mulai Isnin hingga 14 November depan.

Dalam kenyataan berasingan, beliau berkata kesemua tabika berkenaan membabitkan 7,003 murid manakala taska pula melibatkan 101 kanak-kanak.

“Mengambil kira perkembangan semasa pandemik COVID-19 bagi negeri Johor yang semakin meningkat dan daerah Johor Bahru telah disahkan sebagai zon merah oleh Kementerian Kesihatan Malaysia, maka terdapat keperluan untuk menutup Tabika, Taska dan pusat-pusat aktiviti yang seumpamanya bagi mengekang penularan COVID-19,” katanya.

Merujuk kepada surat Ketua Pengarah Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) bertarikh 12 Oktober lalu, beliau berkata JKM sudahpun memutuskan agar semua taska, pusat jagaan, pusat aktiviti warga emas, pusat aktiviti kanak-kanak dan Pemulihan Dalam Komuniti (PDK) hendaklah ditutup bagi kawasan yang diisytiharkan sebagai zon merah. 

Selain taska dan tabika KEMAS, turut ditutup adalah 124 taska yang berdaftar, sembilan PDK, 105 pusat jagaan harian, dua pusat aktiviti warga emas serta dua pusat aktiviti kanak-kanak di daerah tersebut bagi tempoh sama.

Beliau berkata sebarang pemakluman berhubung penutupan tabika, taska dan pusat aktiviti seumpamanya akan diumumkan dari semasa ke semasa berdasarkan kepada statistik yang dikeluarkan oleh Kementerian Kesihatan Malaysia mengenai COVID-19. 

“Keputusan penutupan ini adalah mengambil kira pandangan daripada Majlis Keselamatan Negara dan Jabatan Kesihatan Negeri Johor untuk memastikan COVID-19 dapat dikawal dan tidak dijangkiti kepada golongan yang berisiko tinggi seperti kanak-kanak dan warga emas,” katanya.

Sumber : Bernama/SM/sm
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan