Skip to main content

Iklan

Iklan

Dunia

Lebih 30 dikhuatiri maut akibat gempa Papua New Guinea

Lebih 30 orang dipercayai sudah mati menyusuli gempa bumi kuat yang melanda kawasan pergunungan Papua New Guinea.

Anggaran Waktu Membaca:
Diterbitkan : 27 Feb 2018 11:21AM Dikemas Kini : 28 Feb 2018 12:14AM

SYDNEY: Lebih 30 orang dipercayai sudah mati menyusuli gempa bumi kuat yang melanda kawasan pergunungan Papua New Guinea.

Demikian menurut laporan yang dikeluarkan hari ini (27 Feb), sedang pasukan penyelamat bertungkus-lumus berusaha untuk sampai ke kawasan yang paling teruk terjejas.

Gempa sekuat 7.5 pada skala Richter itu melanda 90 kilometer dari selatan Porgera di wilayah Enga awal pagi semalam (26 Feb), dengan dua gegaran susulan.

Talian telefon juga sebahagian besarnya terputus namun akhbar PNG Post Courier memetik pentadbir wilayah Hela, William Bando, sebagai berkata terdapat beberapa korban jiwa.

Sekurang-kurangnya 13 orang maut di ibu kota Southern Highlands, Mendi, manakala lagi 18 orang terkorban berdekatan Kutubu dan Bosave.

Sekitar 300 orang pula cedera, tambah akhbar itu, dan beberapa hartanah musnah. Kejadian tanah runtuh dan lubang robohan juga dilaporkan.

Laman Papua New Guinea Today memetik paderi Katolik Pius Hal sebagai berkata sekurang-kurangnya 10 orang termasuk empat kanak-kanak maut dalam kejadian tanah runtuh akibat gempa bumi itu.

AFP bagaimanapun tidak dapat mengesahkan jumlah kematian.

Sebuah pasukan penilaian pemerintah dijadualkan diterbangkan ke kawasan tersebut hari ini (27 Feb) untuk meninjau-ninjau kesan bencana itu, dengan tentera dikerahkan untuk membantu mengembalikan khidmat dan prasarana, menurut Ketua Setiausaha Pemerintah Isaac Lupari dalam satu kenyataan.

"Maklumat akan disediakan sedang ia diberi oleh pasukan-pasukan penilaian di kawasan tersebut," tambah beliau.

Gempa itu melanda pada kedalaman 35 kilometer sekitar pukul 3.45 pagi (1.45 pagi waktu Singapura). menurut pakar seismologi Amerika Syarikat. Gegaran-gegaran susulan pula dicatat pada 6.0 dan 6.3 magnitud.

Kawasan itu adalah lokasi penghasilan minyak dan gas.

ExxonMobil PNG menyatakan bangunan-bangunan di Loji Hides Gas Conditioning rosak tetapi semua kakitangannya "selamat dan sudah ditemui", dengan kakitangan biasa sudah dipindahkan.

Syarikat minyak Australia Oil Search semalam (26 Feb) menyatakan operasinya di kawasan itu ditutup sebagai langkah berjaga-jaga dan untuk menilai kerosakan. Sejauh ini, tiada sebarang kecederaan dilaporkan dalam kalangan kakitangannya.

Sumber : AFP/CNA/NK/nk
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan