Images
  • boris
    Perdana Menteri Britain Boris Johnson memakai pelitup muka. (Gambar: AFP)

Lebih 23 juta penduduk Britain akan dikenakan sekatan paling ketat apabila perintah berkurung tamat minggu depan

LONDON: Lebih 23 juta penduduk akan dikenakan sekatan paling ketat apabila perintah berkurung yang dikuatkuasakan bagi membendung penularan COVID-19 di seluruh England berakhir minggu depan.

London bagaimanapun terkecuali daripada langkah paling ketat itu.

England akan kembali melaksanakan sistem amaran berperingkat apabila perintah berkurung berakhir pada 2 Dis, dengan 23.3 juta penduduk yang menetap di daerah-daerah yang paling teruk terjejas akan diletakkan dalam tahap amaran 'sangat tinggi'.

Ia termasuk beberapa bandar utama seperti Birmingham, Bristol, Leeds, Manchester, Newcastle dan Sheffield, dengan penduduk setempat diletakkan dalam tahap amaran tertinggi sekurang-kurangnya selama dua minggu.

Sekatan paling ketat yang dikuatkuasakan sebelum perintah berkurung dilaksanakan tetapi hanya melibatkan 8.6 juta penduduk itu hanya akan menyulitkan lagi perniagaan yang sebelum ini tergapai-gapai untuk terus bertahan, sedang kemudahan-kemudahan riadah terus ditutup kepada orang ramai.

Sungguhpun demikian, lebih separuh daripada England termasuk ibu kota London akan diletakkan dalam Tahap 2 yang membolehkan restoran-restoran dan banyak kemudahan riadah dibuka semula.

Buat pertama kalinya sejak Mac lalu, kehadiran orang ramai yang terhad di persembahan dan acara sukan juga akan dibenarkan.

Para individu dari keluarga yang berlainan mungkin tidak akan dibenarkan bercampur di dalam rumah di kedua-dua tahap itu.

Perdana Menteri Britain Boris Johnson, yang membuat penampilan pada Khamis lalu selepas dua minggu menjalani pengasingan diri selepas bersentuhan dengan seorang Ahli Parlimen yang positif COVID-19, turut memberi amaran mengenai 'musim sejuk yang mencabar' sebelum vaksin tersedia secara besar-besaran.

Beliau juga mengingatkan orang ramai supaya mematuhi peraturan yang ditetapkan.

"Saya benar-benar berharap (sekatan-sekatan) ini tidak perlu tetapi jika kita mahu sekolah terus dibuka dan sebagainya, maka kita tidak mempunyai pilihan lain selain mengatasi penyakit ini.

"Namun, perintah berkurung yang akan dikenakan ini tidak seteruk yang kita lalui sebelum ini," katanya.

Setiausaha Kesihatan Matt Hancock berkata tahap amaran akan dikaji semula selepas dua minggu pada pertengahan Disember.

Pada awal minggu ini, kerajaan Britain mengumumkan bahawa sekatan-sekatan akan dilonggarkan selama lima hari sebelum sambutan Krismas.

Britain adalah antara negara paling teruk dilanda COVID-19 di Eropah dengan hampir 1.6 juta jangkitan termasuk 57,031 kematian sejak pandemik itu menular pada Mac lalu.

- AFP/NA/na

Top