Skip to main content

Iklan

Iklan

Dunia

Lebih 100 anggota polis M'sia dikesan positif dadah

Lebih 100 anggota polis dikesan positif dadah menerusi 'Op Blue Devil' yang dijalankan di setiap kontinjen sejak minggu lalu, kata Ketua Polis Malaysia Abdul Hamid Bador.

Anggaran Waktu Membaca:
Lebih 100 anggota polis M'sia dikesan positif dadah

Ketua Polis Negara Malaysia, Abdul Hamid Bador. (Gambar: Bernama)

Diterbitkan : 21 Aug 2019 11:07AM Dikemas Kini : 21 Aug 2019 11:16AM

KUALA LUMPUR: Lebih 100 anggota polis dikesan positif dadah menerusi 'Op Blue Devil' yang dijalankan di setiap kontinjen sejak minggu lalu, kata Ketua Polis Malaysia Abdul Hamid Bador.

Kesemua anggota, katanya, dikesan positif dadah menerusi óperasi berkenaan yang dijalankan mulai 13 Ogos. Beliau turut terkejut dengan jumlah tersebut yang disifatkan berada pada tahap kritikal dan serius.

"Kali ini, saya mengambil pendekatan secara menyeluruh yang mana tindakan turut diambil ke atas warga Polis Diraja Malaysia (PDRM) dengan melancarkan Op Blue Devil, yang mana pegawai dan anggota polis dikehendaki menjalani ujian air kencing dan ada yang didapati positif pelbagai jenis dadah, terutamanya syabu.

"Jika warga PDRM yang diberi tanggungjawab dan amanah untuk menguatkuasakan undang-undang tetapi mereka sendiri pun terlibat dengan kegiatan ini, apa hendak jadi dengan negara ini," katanya kepada Bernama News Channel.

SALAH GUNA DADAH PADA TAHAP KRITIKAL

Encik Abdul Hamid berkata angka yang amat membimbangkan itu menunjukkan bahawa masalah penyalahgunaan dadah di Malaysia sudah berada pada tahap kritikal.

"Bayangkan keadaan yang pernah berlaku di Amerika Latin dahulu (masalah dadah dalam kalangan anggota penguat kuasa), maka usaha pencegahan penyalahgunaan yang menyeluruh mesti dilaksanakan," katanya.

Menurut beliau, operasi itu akan dilaksanakan secara berterusan dan arahan jelas sudah diberikan kepada Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik untuk tidak 'berehat' dalam operasi berkenaan.

Encik Abdul Hamid berkata tindak-tanduk anggota yang terlibat dengan penyalahgunaan dadah sudah dijangka dan terbukti kerana mereka turut terlibat dalam kes-kes pemerasan, rasuah, ugut dan menjadikan pekerja-pekerja asing sebagai mangsa.

"Saya sudah syak, jadi mereka inilah yang saya sasarkan (pegawai dan anggota terlibat dadah), selain kumpulan-kumpulan tertentu dalam unit-unit di bawah PDRM... maka terbukti memang perkara ini adalah sebenarnya apa yang berlaku.

"Maklumlah kos untuk memenuhi tabiat itu tinggi kerana dadah dibeli dengan harga yang tinggi dan dengan gaji yang kecil, mereka ini (anggota dan pegawai penagih dadah) terpaksa mencari wang dengan cara haram," katanya.

Beliau berkata usaha itu adalah cara untuk membersihkan PDRM daripada elemen rasuah dan meningkatkan integriti.

Selain itu, Encik Abdul Hamid berkata operasi pencegahan penyalahgunaan dadah itu juga merupakan operasi serampang dua mata dengan menyasarkan serbuan ke atas makmal-makmal memproses dadah, pengedar serta penagih dadah.

"Tindakan ini dijangka memberi impak yang baik dalam usaha saya untuk membanteras penyalahgunaan dadah," katanya.

DIKENA TINDAKAN UNDANG-UNDANG SAMA SEPERTI ORANG AWAM

Sementara itu, Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Mohd Khalil Kader Mohd berkata dalam Op Blue Devil yang dijalankan sehingga semalam, seramai 3,438 anggota PDRM sudah menjalani ujian saringan air kencing.

"Kami sudah imbas dahulu anggota PDRM yang disyaki terbabit dengan dadah. Setelah kita kenal pasti, mereka ini diarahkan menjalani ujian air kencing dan didapati ada antaranya positif," katanya.

Beliau berkata seramai 86 anggota polis didapati positif dadah jenis syabu, masing-masing enam individu positif Amphetamine dan Opiat manakala selebihnya dua individu positif ganja dan seorang positif ketamin.

Encik Mohd Khalil berkata anggota polis yang didapati positif dadah itu akan dikenakan tindakan undang-undang sama seperti orang awam iaitu mereka akan menerusi proses siasatan polis seterusnya dihadapkan ke mahkamah.  

Sumber : Bernama/AI/ai
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan