Skip to main content

Iklan

Iklan

Dunia

Layak undi usia 18 tahun kuasa besar untuk anak muda corak negara - Sultan Nazrin

Had layak mengundi pada umur 18 tahun bukan sekadar memberi hak kepada golongan remaja, sebaliknya, ia perlu ditafsir sebagai peluang yang memberikan kuasa lebih besar kepada anak muda untuk mencorak kepimpinan negara dan memilih kerajaan.

Anggaran Waktu Membaca:
Layak undi usia 18 tahun kuasa besar untuk anak muda corak negara - Sultan Nazrin

(Gambar: BERNAMA)

Diterbitkan : 20 Aug 2019 12:52PM Dikemas Kini : 20 Aug 2019 12:55PM

IPOH: Had layak mengundi pada umur 18 tahun bukan sekadar memberi hak kepada golongan remaja, sebaliknya, ia perlu ditafsir sebagai peluang yang memberikan kuasa lebih besar kepada anak muda untuk mencorak kepimpinan negara dan memilih kerajaan.

Sultan Perak Sultan Nazrin Shah berkata memilih kerajaan adalah perkara serius kerana nasib rakyat dan negara bergantung kepada mereka yang diberikan kuasa untuk membentuk kerajaan.

"Penilaian hendaklah diasaskan kepada pemikiran yang rasional berteraskan fakta dan bukannya sentimen serta emosi," ucap Sultan Nazrin kepada para graduan di Istiadat Konvokesyen ke-48, Politeknik Ungu Omar di Ipoh pada Selasa (20 Ogos).

Pada 16 Julai lalu, Dewan Rakyat meluluskan pindaan Perlembagaan Persekutuan bagi membolehkan mereka yang berumur 18 tahun dan ke atas untuk didaftarkan secara automatik sebagai pengundi sebelum Dewan Negara pula meluluskannya pada 25 Julai.

Menurut Sultan Nazrin, anak muda perlu dibimbing agar berupaya memahami erti dan amalan demokrasi yang membina, sistem kerajaan, sistem pentadbiran, proses pembentukan kerajaan serta elemen-elemen wajib dimiliki oleh pemimpin.

"Anak muda perlu dibimbing untuk memiliki nilai-nilai moral yang betul berpaksikan undang-undang, memiliki kematangan menilai antara yang makruf dengan yang mungkar, arif membezakan antara fakta dengan fitnah, bijaksana mengenali antara permata dengan kaca.

"Anak muda perlu diberikan cukup pendedahan dan pengetahuan mengenai elemen kenegaraan dan tatanegara. Untuk itu, pembentukan sahsiah dan jati diri, perlu dipupuk dan dijadikan komponen dalam kandungan pendidikan negara," kata Sultan Nazrin.

GOLONGAN REMAJA DIBERI KEPERCAYAAN BESAR GALAS TANGGUNGJAWAB

Mengenai takrifan definisi belia dari usia 15 hingga 30 tahun, Sultan Nazrin berkata ia merupakan langkah mahu memberikan kepercayaan lebih besar kepada golongan remaja untuk mengambil tanggungjawab kepimpinan.

Menurut Sultan Nazrin, pindaan Akta Pertubuhan Belia 2007 boleh ditafsirkan sebagai satu landasan untuk membantu proses mematangkan golongan muda, inovasi demokrasi bagi meningkatkan selain meluaskan pelibatan remaja dalam struktur dan proses membuat keputusan serta menyuarakan pendirian.

"Anak muda wajib menghargai kepercayaan yang dianugerahkan oleh negara ini dengan menunjukkan sikap bertanggungjawab dan sifat kematangan," ujarnya.

Selain itu, Sultan Nazrin berkata setelah 62 tahun mencapai kemerdekaan, rakyat jangan sesekali membenarkan suara perpaduan yang menyatukan warga dirampas (hijack) oleh mana-mana pihak kerana tujuan politik sempit jangka pendek mereka.

Beliau menegaskan masa hadapan rakyat dan negara tidak harus diserahkan kepada kumpulan yang membawa fahaman ekstremis kaum serta ekstremis agama. 

Sumber : Bernama/FZ/fz
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan