Skip to main content

Iklan

Iklan

Dunia

Laporan siasatan tanah runtuh Bukit Kukus harus didedah kepada umum

Penang Forum, iaitu gabungan kumpulan masyarakat sivil berkepentingan awam, menggesa supaya minit dan nota mengenai siasatan tanah runtuh Bukit Kukus didedahkan kepada umum dan tidak harus terikat dengan undang-undang kerahsiaan.

Anggaran Waktu Membaca:
Laporan siasatan tanah runtuh Bukit Kukus harus didedah kepada umum

Siasatan menyeluruh digesa dijalankan bagi mengenal pasti pihak yang harus didakwa atas kecuaian. (Gambar: Bernama)

Diterbitkan : 27 Oct 2018 07:22AM Dikemas Kini : 27 Oct 2018 07:29AM

GEORGE TOWN: Penang Forum, iaitu gabungan kumpulan masyarakat sivil berkepentingan awam, menggesa supaya minit dan nota mengenai siasatan tanah runtuh Bukit Kukus didedahkan kepada umum dan tidak harus terikat dengan undang-undang kerahsiaan.

Anggota Penang Forum, Khoo Salma Nasution, berkata ia adalah demi ketelusan dan anggota suruhanjaya itu.

“Kami meminta pihak berkuasa untuk mengambil dua anggota dari Penang Forum, iaitu seorang jurutera dan seorang peguam untuk menyertai panel, sama ada negeri atau persekutuan, menyiasat tragedi tanah runtuh Bukit Kukus,” kata beliau kepada para wartawan selepas menganjurkan perhimpunan aman di hadapan Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP) pada Jumaat (26 Okt).

Kira-kira 100 anggota Penang Forum, yang terdiri daripada para individu dan beberapa pertubuhan bukan kerajaan (NGO), menghadiri perhimpunan itu bagi menunjukkan perpaduan kepada mangsa tanah runtuh di Jalan Bukit Kukus.

Pada Rabu (24 Okt) lalu, Ketua Menteri Pulau Pinang Chow Kon Yeow mengumumkan sebuah jawatankuasa khas ditubuhkan untuk menyiasat punca kejadian tanah runtuh yang mengorbankan sembilan pekerja asing di tapak projek jalan berkembar di Jalan Bukit Kukus, Paya Terubong.

Cik Khoo Salma berkata Penang Forum juga menggesa pihak berkuasa negeri dan persekutuan supaya menjalankan siasatan menyeluruh mengenai kejadian tersebut dan mengenal pasti pihak yang perlu dipertanggungjawabkan untuk didakwa atas kecuaian.

“Kami menggesa pihak berkuasa agar memanggil pihak tertentu untuk memberi penjelasan, membuka rekod dan juga mengarahkan pemecatan jika perlu. Kami juga menggesa pihak berkuasa untuk mengenakan penalti maksimum sebagai pengajaran untuk menghalang tragedi kehilangan nyawa pada masa depan,” katanya.

Sementara itu, Encik Chow berkata kerajaan negeri akan mempertimbangkan cadangan Penang Forum.

“Ini adalah siasatan dalaman. Ia bukan seperti Suruhanjaya Siasatan dan kami akan mempertimbangkan cadangan Penang Forum itu," katanya.

Menurut Encik Chow, dua wakil IEM Cawangan Pulau Pinang, Pengerusinya Ting Chek Choon dan Pengerusi yang akan datang Yau Ann Nian akan membantu siasatan tragedi itu, di bawah jawatankuasa khas yang ditubuhkan pada Rabu (24 Okt) untuk menyiasat punca kejadian tanah runtuh tersebut.

Kejadian tanah runtuh itu dilaporkan berlaku di tapak projek Lebuh Raya Berkembar Bukit Kukus pada sekitar 1.56 tengah hari Jumaat lalu (19 Okt).

Kejadian itu mengorbankan sembilan orang manakala empat lagi cedera, dengan 13 kontena dan sebuah rumah kongsi turut tertimbus.  

Sumber : Bernama/AI/ai
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan