Skip to main content

Iklan

Iklan

Dunia

Laporan Barat berhubung masyarakat Uighur Xinjiang diputar belit, tidak adil

Seorang pemimpin Islam dari Xinjiang menyelar Barat kerana pandangan mereka yang tidak adil terhadap wilayah autonomi itu dan menjadikan ia sebagai mangsa sasaran kempen mereka bagi mencetuskan ketidakstabilan di wilayah tersebut.

Anggaran Waktu Membaca:
Laporan Barat berhubung masyarakat Uighur Xinjiang diputar belit, tidak adil

Kompleks di Xinjiang yang dipercayai sebagai kem pusat 'pendidikan semula' (Gambar: AFP)

Diterbitkan : 21 Jun 2019 11:43AM Dikemas Kini : 21 Jun 2019 11:48AM

KUALA LUMPUR: Seorang pemimpin Islam dari Xinjiang menyelar Barat kerana pandangan mereka yang tidak adil terhadap wilayah autonomi itu dan menjadikan ia sebagai mangsa sasaran kempen mereka bagi mencetuskan ketidakstabilan di wilayah tersebut.

Naib Pengerusi Kongres Perundingan Politik Rakyat Xinjiang, Abudurekefu Tumuniyazi, ketika menyifatkan laporan media oleh Barat berhubung penindasan yang dihadapi etnnik Uighur di wilayah itu sebagai kebenaran yang diputar belit, turut mendakwa ia disebabkan perasaan tidak senang Barat terhadap pertumbuhan pesat ekonomi China.

“Media Barat mempunyai perspektif yang salah dan negatif mengenai Xinjiang. Sejak pembaharuan China dan tindakannya membuka pintu negara itu, China telah menikmati pembangunan yang mengagumkan dalam semua aspek, kestabilan dan kemakmuran.

“China telah dapat bersaing dengan Amerika Syarikat dan banyak negara barat,” katanya dalam satu taklimat kepada media Malaysia di Kedutaan Republik Rakyat China di Kuala Lumpur pada Khamis (20 Jun).

Encik Abudurekefu, yang juga Naib Presiden Persatuan Islam China dan Presiden Institut Islam Xinjiang, berkata kebangkitan China dilihat sebagai satu ancaman oleh banyak negara di Barat.

Katanya sejak tiba di Malaysia dua hari lepas, beliau telah bertemu pelbagai komuniti Islam dan pihak berkuasa Islam termasuk Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) sebagai sebahagian usaha untuk menjalin hubungan dan pemahaman yang lebih baik dengan umat Islam di Malaysia.

“Saya faham bahawa ramai rakyat Malaysia bimbang dengan situasi umat Islam di Xinjiang. Oleh itu, kami menggunakan lawatan ini sebagai peluang untuk menjelaskan kebenaran kepada mereka,” katanya.
Beliau juga menggalakkan lebih ramai rakyat Malaysia melawat Xinjiang untuk melihat dan menyaksikan sendiri situasi sebenar di sana.

LAPORAN "MASJID HILANG", LAWATAN PUSAT "LATIHAN"

Beberapa laporan media baru-baru ini sekali lagi menarik perhatian kepada nasib golongan masyarakat minoriti Islam di Xinjiang yang dikatakan ditindas.

AFP melaporkan pada Rabu (19 Jun) tentang sebuah keluarga Uighur dari Xinjiang yang dikatakan hilang setelah diiring keluar dari kedutaan Belgium di Beijing selepas cuba menyelesaikan beberapa isu dokumen visa.

Satu laporan susulan pada Rabu melaporkan setelah berminggu-minggu hilang, lokasi keluarga itu dikenal pasti di Xinjiang.

BBC pada Isnin (17 Jun) pula menerbitkan dokumentari berjudul "Kunjungan ke dalam kem-kem 'pembentukan fikiran' China" ("Inside China's 'thought transformation' camps") yang merakam lawatan wartawannya ke pusat kawalan tinggi yang "menempatkan lebih sejuta warga Muslim di wilayah barat Xinjiang, China".

"Pihak berkuasa bertegas ini hanya pusat latihan. Namun kunjungan BBC menemui bukti-bukti penting tentang cara sistem dan keadaan orang-orang di dalamnya," tulis media itu.

Petikan video itu turut dimuatnaik di Facebook sejak Rabu dan dalam tempoh dua hari sudah ditonton lebih 931,000 kali dan dikongsi lebih 11,000 kali.

Ia disusuli pada Khamis dengan satu lagi dokumenteri berjudul "Kepercayaan musnah: Janggut dan masjid yang hilang di China" ("Faith in ruins: China's vanishing beard and mosques").

Sumber : Bernama/Agensi berita/TQ/tq
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan