Images
  • sydney
    Bandar Sydney di Australia terjejas akibat ribut debu pada 22 November 2018. (Gambar: David Gray/Reuters)

Lapangan Terbang Sydney kembali beroperasi

SYDNEY: Lapangan Terbang Sydney kembali beroperasi seperti biasa hari ini (24 Nov) selepas berlaku kekecohan akibat angin kencang semalam, kata seorang jurucakap.

Kelajuan angin sehingga 70 kilometer sejam (kph) menyebabkan Lapangan Terbang Sydney terpaksa menutup salah satu landasan kapal terbang semalam (23 Nov). Arahan itu sekaligus menyebabkan para penumpang penerbangan antarabangsa dan domestik terkandas di negeri paling padat penduduk di Australia itu.

Lapangan Terbang Sydney juga membatalkan 76 penerbangan selepas hanya satu landasan dibuka.

Pakar kaji cuaca, Rosemary Barr, memberitahu agensi berita Reuters bahawa kelajuan angin berkurangan kepada 30 kph selepas sistem tekanan rendah di laut Tasman semakin lemah sebelum bertukar haluan ke arah timur.

Tiupan angin kencang itu adalah sebahagian besar punca sistem cuaca tenggara Australia yang mencetuskan ribut debu sehingga 500 kilometer Khamis (22 Nov), mengakibatkan Sydney turut diselimuti debu.

Jurucakap Lapangan Terbang Sydney, Cait Tynan, berkata lapangan terbang itu beroperasi seperti biasa hari ini (24 Nov) dengan kedua-dua landasan pesawat dapat digunakan.

Sementara itu, syarikat penerbangan Virgin dan Qantas sudah menambah jumlah penerbangan bagi membantu penumpang yang terkandas akibat keadaan cuaca tersebut.

Jetstar Airways pula menyatakan pihaknya terpaksa membatalkan tujuh penerbangan pada awal pagi tadi, namun kembali beroperasi menjelang tengah hari.  

- Reuters/AI/ai

Top