Images
  • haneda
    (Gambar: REUTERS/Issei Kato)

Lapangan Terbang Haneda dibelenggu masalah bekalan air

TOKYO: Bekalan air terputus di salah satu terminal Lapangan Terbang Haneda di ibu negara Jepun, Tokyo, dengan para penumpang terpaksa membasuh tangan dengan air botol dan sebilangan restoran menggantung operasi masing-masing, menurut para pegawai.

Sebuah bar di Terminal 2, yang mengendalikan penerbangan domestik, menghidangkan wain dalam cawan plastik kerana tidak dapat membasuh gelas dan ini dipaparkan dalam rakaman video yang disiarkan oleh penyiar tempatan NHK.

Operasi penerbangan bagaimanapun tidak terjejas. Sungguhpun demikian, bekalan air terganggu sejak semalam, dengan tiada pemberitahuan mengenai bilakah bekalan air dapat dipulihkan semula.

“Kami tidak dapat menganggarkan bila bekalan air akan pulih semula di Terminal 2,” kata Encik Kyosuke Hirano, jurucakap Terminal Lapangan Terbang Jepun, yang mengendalikan Haneda, lapangan terbang keempat paling sibuk di dunia.

Bagaimanapun, tandas-tandas tidak terjejas kerana menggunakan sistem air yang berbeza, kata seorang lagi pegawai.

Airport Facilities Co, yang membekalkan air ke lapangan terbang, menyatakan pihaknya menggantung bekalan air ke terminal domestik 1 dan 2 pagi semalam selepas menerima aduan mengenai air yang terasa masin. Terminal antarabangsa tidak terjejas.

Airport Facilities Co turut mendedahkan bahawa pihaknya sudah memulihkan bekalan air ke Terminal 1 tengah hari semalam, tetapi masih menyiasat punca yang menyebabkan air terasa masin.

- REUTERS/NA/na

Top