Images
  • dunedin airport
    Lapangan Terbang Dunedin ditutup sementara selepas 'bungkusan mencurigakan' dilaporkan. (Gambar: Lapangan Terbang Dunedin/Facebook) 

Lapangan Terbang Dunedin ditutup sementara selepas 'bungkusan mencurigakan' dilaporkan

DUNEDIN: Lapangan Terbang Dunedin di pulau selatan New Zealand ditutup buat sementara ekoran kebimbangan mengenai "sebuah bungkusan yang mencurigakan".

Menurut laporan Daily Mail, lapangan terbang itu dikosongkan pada sekitar 8.10 malam waktu tempatan hari ini (17 Mac), dengan kawasan di sekeliling lapangan terbang berkenaan dikepung dengan segera.

Polis New Zealand mengesahkan bahawa pihaknya sudahpun tiba di tempat kejadian dan pasukan pemusnah bom dilaporkan sedang dalam perjalanan ke lapangan terbang itu.

"Polis sedang berada di tempat kejadian dan pasukan khas pula sudah dikerahkan bagi memeriksa bungkusan itu," menurut satu kenyataan, seperti yang dipetik oleh Daily Mail.

Sumber lapangan terbang memberitahu akhbar Otago Daily Times bahawa sebuah beg ditemui terbiar di dalam sebuah bangunan yang terletak di luar terminal utama Lapangan Terbang Dunedin.

Daily Mail melaporkan bahawa sekurang-kurangnya satu penerbangan terjejas, dengan pesawat Air New Zealand dari Wellington dilencongkan.

Ancaman pengganasan di New Zealand dinaikkan dari tahap rendah kepada tahap tinggi pada Jumaat (17 Mac) menyusuli serangan pengganas di dua masjid di Christchurch.  

- Agensi berita/AI/ai

Top