Images
  • langkawi
    (Gambar: Bernama)

Langkawi zon hijau, tak perlu risau datang bercuti, kata CEO LADA

LANGKAWI: Langkawi kekal sebagai zon hijau COVID-19, justeru pelancong tidak perlu risau untuk ke pulau peranginan itu, kata Ketua Pegawai Eksekutif Lembaga Pembangunan Langkawi (LADA) Dr Hezri Adnan.

Katanya lagi,pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) secara pentadbiran di 28 mukim di Kota Setar bermula 11 Sep lalu, tiada kaitan dengan Langkawi yang turut mengamalkan pematuhan prosedur operasi standard (SOP) yang tinggi.

Menurut beliau selanjutnya, usaha LADA dan pemain industri untuk menarik pelawat ke pulau peranginan itu selepas kerajaan membenarkan pergerakan rentas negeri mula menunjukkan hasil dengan kira-kira 82,000 orang mengunjungi Langkawi pada Jun.

"Pada Julai jumlah meningkat kepada 189,000 dan kita lihat trend yang sama pada Ogos, namun pelaksanaan PKPD sedikit sebanyak menjejaskan usaha yang dilakukan mungkin kerana ada kekhuatiran dalam kalangan pelancong.

"Ini tidak benar, aktiviti pelancongan di Langkawi masih berjalan seperti biasa, kita berada dalam zon hijau tidak harus ada kegusaran atau risau dalam kalangan pengunjung untuk datang ke Langkawi," katanya kepada pemberita selepas menyempurnakan majlis pelancaran ‘Selfie Ria:Selfie Museum The Dessert Series’ di Oriental Village hari ini (16 Sep).

"Oleh itu, saya nak mengajak pengunjung yang bercadang untuk melancong ke Langkawi terus datang ke sini, kita selamat dan ia seronok di sini," tambahnya. 

- BERNAMA/NA/na

Top