Skip to main content

Iklan

Iklan

Dunia

Langkawi tuan rumah sidang pameran pertahanan dan keselamatan siber

Pameran dan Persidangan Pertahanan dan Keselamatan Siber (CYDES) yang pertama dijadual berlangsung pada Mac 2020 di Pusat Pameran Antarabangsa Mahsuri di Langkawi, Kedah.

Anggaran Waktu Membaca:
Langkawi tuan rumah sidang pameran pertahanan dan keselamatan siber

(Gambar: Facebook)

Diterbitkan : 30 Mar 2019 11:05AM Dikemas Kini : 30 Mar 2019 11:14AM

LANGKAWI: Pameran dan Persidangan Pertahanan dan Keselamatan Siber (CYDES) yang pertama dijadual berlangsung pada Mac 2020 di Pusat Pameran Antarabangsa Mahsuri di Langkawi, Kedah.

Dianjurkan oleh Alpine Integrated Technologies Sdn Bhd, CYDES dijadual diadakan secara dwitahunan.

Sejak beberapa tahun lalu, negara di Asia Pasifik kian menyedari betapa pentingnya untuk meningkatkan kesedaran mengenai ancaman perang siber yang kini menjadi ancaman yang serius.

Pelbagai usaha proaktif diambil oleh kerajaan Malaysia untuk menangani perang siber itu, seperti penubuhan Pusat Operasi Pertahanan Siber Angkatan Tentera Malaysia (ATMOC) yang bertanggungjawab mengawasi ancaman siber terhadap sistem pertahanannya.

Selain itu, Malaysia juga meningkatkan keselamatan maklumat dalam sektor utama untuk mengurangkan risiko dan ancaman kepada infrastruktur kritikal melalui Infrastruktur Maklumat Nasional Kritikal (CNII), yang melindungi sektor kritikal seperti kesihatan, perbankan dan kewangan, air, tenaga, teknologi maklumat, serta pengangkutan dan pertahanan.

Alpine Integrated Technologies menyatakan bahawa setakat memberi tumpuan sepenuhnya ke atas langkah pencegahan di peringkat domestik sahaja tidak mencukupi.

Malaysia sebagai negara anggota ASEAN juga mengambil inisiatif untuk memupuk kerjasama serantau yang berkesan dalam menghadapi cabaran yang muncul akibat peperangan siber. Ini termasuk Persidangan Keselamatan Siber Peringkat Menteri dan Mesyuarat Menteri Pertahanan ASEAN PLUS (ADMM-PLUS).

Bagaimanapun, usaha dan langkah yang dirancang dan dilaksanakan untuk menangani ancaman perang siber mesti dilakukan melalui pendekatan berterusan, yang bersifat revolusi dan inovatif.

Atas sebab itulah acara utama CYDES 2020 melibatkan Perbincangan Siber Perdana ASEAN (PACT), dengan pemimpin negara dan pakar industri pertahanan dari negara ASEAN yang terdiri daripada Brunei, Kemboja, Indonesia, Laos, Myanmar, Filipina, Singapura , Thailand, Vietnam dan Malaysia, akan mengambil bahagian dalam acara tersebut.

Kira-kira 300 peserta pameran teknologi siber dari sektor pertahanan atau keselamatan diundang untuk mempamerkan teknologi terkini masing-masing. Ini termasuk 10 astaka antarabangsa dari Australia, Kanada, United Kingdom, Amerika Syarikat, India, Jepun, Malaysia, Oman, Singapura dan Korea Selatan.

Hampir 100 perwakilan dari ASEAN juga diundang untuk CYDES 2020.

Sumber : Bernama/AI/ai
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan