Skip to main content

Iklan

Iklan

Dunia

Langkah kurung rakyat tidak lagi sesuai; kawalan kendiri amat penting, kata Ismail Sabri

 Kerajaan membuka sektor ekonomi memandangkan langkah 'mengurung' rakyat dilihat tidak lagi sesuai malah dikhuatiri mendatangkan lebih banyak kesan termasuk kesihatan mental, kata Perdana Menteri Malaysia Ismail Sabri Yaakob.

Anggaran Waktu Membaca:
Langkah kurung rakyat tidak lagi sesuai; kawalan kendiri amat penting, kata Ismail Sabri

Para pelanggan di sebuah pasar di Kuala Lumpur. (Gambar: REUTERS)

Diterbitkan : 14 Sep 2021 02:56PM Dikemas Kini : 14 Sep 2021 02:58PM

KUALA LUMPUR: Kerajaan membuka sektor ekonomi memandangkan langkah 'mengurung' rakyat dilihat tidak lagi sesuai malah dikhuatiri mendatangkan lebih banyak kesan termasuk kesihatan mental, kata Perdana Menteri Malaysia Ismail Sabri Yaakob.

Beliau berkata pembukaan sektor ekonomi bukan sahaja dapat membantu mempercepatkan pemulihan ekonomi negara, malah memberi peluang dan ruang untuk rakyat memperbaiki hidup.

“Pembukaan semula 11 sektor ekonomi di negeri-negeri Fasa Satu Pelan Pemulihan Negara (PPN) adalah wajar berikutan peratusan penerima vaksin yang tinggi.

“Malah, keputusan ini dibuat dengan mengambil kira data penilaian risiko yang dijalankan Kementerian Kesihatan (KKM) dan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP),” katanya semasa sesi soal jawab lisan di Dewan Rakyat hari ini (14 Sep).

Beliau menjawab soalan Encik Mohd Salim Sharif (BN-Jempol) mengenai kewajaran membuka semula 11 sektor ekonomi ketika kes harian baru COVID-19 masih mencatatkan angka membimbangkan.

Encik Ismail Sabri berkata sehingga kini, sebanyak 74.7 peratus penduduk dewasa sudahpun lengkap menerima vaksin COVID-19 manakala 91.6 peratus menerima satu dos vaksin.

Bagaimanapun, beliau berkata sektor berkenaan dibuka dengan prosedur operasi standard (SOP) ketat termasuk hanya pelanggan yang lengkap divaksin dibenarkan masuk untuk membuat urus niaga dan mendapatkan perkhidmatan, selain pekerja permis berkaitan juga mesti melengkapkan vaksinasi.

Sebanyak 11 jenis aktiviti ekonomi dalam sektor perdagangan dan pengedaran kembali beroperasi dalam Fasa Satu PPN berkuat kuasa 16 Ogos lalu. Ini antaranya meliputi kedai cuci kereta, kedai elektrik dan elektronik, kedai pakaian, fesyen dan aksesori, kedai barang kemas, kedai gunting rambut serta pusat/salun kecantikan.

KAWALAN KENDIRI PENTING

Menjawab soalan tambahan Encik Mohd Salim berhubung sama ada keputusan pembukaan sektor ekonomi itu mengambil kira risiko penularan COVID-19 terhadap mereka yang berumur 17 tahun ke bawah yang belum divaksin, Perdana Menteri berkata rakyat perlu mengamalkan disiplin dan kawalan kendiri bagi mengelak diri sendiri, keluarga serta masyarakat daripada dijangkiti wabak tersebut.

“Apabila kita buka (sektor ekonomi), kita lihat di tempat percutian penuh, tidak ada memakai pelitup muka pun, maknanya masa depan negara kita dari segi COVID-19 ini bergantung kepada kita sendiri. Kita tidak boleh harapkan vaksin semata-mata tetapi kawalan kendiri itu sangat penting. Kalau tidak, ia akan menjadi sia-sia sahaja,” ujarnya.

Sementara  itu, Encik Ismail Sabri berkata pembukaan semula 11 sektor ekonomi itu turut melihat kepada sains dan data berkaitan kelompok COVID-19 sektor berkenaan.

“Sebagai contoh, ramai yang mengatakan gunting rambut ini bahaya sebab kontrak rapat tetapi sepanjang 2020, hanya satu melibatkan kes kluster gunting rambut.

“Begitu juga dengan kedai cuci kereta, ramai kata pekerja warga asing dan sebagainya, jadi tentu jangkitan lebih mudah tetapi sepanjang 2020, tidak ada satu pun (kes) melibatkan kedai cuci kereta. Data-data seperti inilah yang menyebabkan kita fokus kepada sektor-sektor tertentu untuk dibuka walaupun di tempat lain ada kelompok-kelompok lain,” katanya. 

Sumber : Bernama/FZ/fz
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan