Skip to main content

Iklan

Iklan

Dunia

Lambakan songket tiruan akibatkan kerugian penenun songket asli M'sia

Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya Mohamaddin Ketapi akan bertemu dengan pengusaha industri tenunan songket pada awal Februari ini bagi membincangkan hala tuju industri berkenaan berikutan masalah lambakan songket tiruan di pasaran sejak sekian lama.

Anggaran Waktu Membaca:
Lambakan songket tiruan akibatkan kerugian penenun songket asli M'sia

Kain-kain songket (Gambar: Wiki Commons)

Diterbitkan : 03 Jan 2019 09:10AM Dikemas Kini : 03 Jan 2019 09:13AM

KUALA LUMPUR: Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya Mohamaddin Ketapi akan bertemu dengan pengusaha industri tenunan songket pada awal Februari ini bagi membincangkan hala tuju industri berkenaan berikutan masalah lambakan songket tiruan di pasaran sejak sekian lama.

"Antara isu yang akan dibangkitkan ialah mengenai lambakan songket tiruan terutama dari India selain persaingan dari segi harga dan kualiti yang ditawarkan berbanding songket asli dijual di sini,” katanya kepada Bernama selepas program Suara Harapan terbitan Bernama Radio pada Rabu petang (2 Jan).

Pada Rabu, sebuah akhbar tempatan melaporkan mengenai kebimbangan pengusaha songket Terengganu terhadap lambakan songket tiruan di pasaran yang menyebabkan permintaan songket asli semakin berkurangan, sekali gus menyebabkan ramai penenun mengalami kerugian.

Harga songket tiruan jauh lebih murah berbanding songket asli yang ditenun 100 peratus secara tradisional serta berkualiti dengan harganya mencecah puluhan atau ratusan ribu ringgit.

Beliau berkata songket asli perlu dipertahankan kerana ia merupakan lambang kehalusan seni tenunan Melayu yang diwarisi zaman-berzaman.

Encik Mohamaddin turut menyatakan kesediaannya untuk bekerjasama dengan Yayasan Tuanku Nur Zahirah, iaitu sebuah yayasan di bawah naungan Sultanah Terengganu, Sultanah Nur Zahirah yang bergiat aktif dalam memelihara warisan asli di Terengganu.

Pada 30 Mei tahun lalu, Encik Radzuan Radziwill selaku pengerusi yayasan itu menyatakan tentang keperluan kerajaan untuk campur tangan bagi memerangi kemasukan songket luar negara selain memastikan industri songket warisan Melayu terus terpelihara.

Dalam perkembangan lain, Encik Mohamaddin dalam temu bual tersebut menyatakan bilangan pelancong antarabangsa ke Malaysia bagi tempoh Januari hingga September 2018 menunjukkan penurunan sebanyak 0.3 peratus iaitu 19,386,115 berbanding 19,435,935 orang untuk tempoh sama pada 2017.

Bagaimanapun, perbelanjaan pelancong meningkat 0.5 peratus iaitu RM61.9 bilion (S$20.4 bilion) berbanding RM61.5 bilion (S$20.27 bilion) untuk tempoh sama pada 2017.

"Pelancong dari ASEAN menjadi penyumbang utama dalam trend kemasukan pelancong pada tahun lepas dengan purata tempoh tinggal telah meningkat sebanyak 0.2 malam iaitu 7.3 malam berbanding 7.1 malam bagi tempoh sama pada tahun 2017,” katanya.

Sumber : Bernama/TQ/tq
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan