Images
  • reddit website down
    Mesej ralat dipaparkan di laman Reddit semasa gangguan internet seluruh dunia pada 8 Jun 2021 (Gambar: Mediacorp)

Laman web merata dunia pulih setelah gangguan Internet

LONDON: Ribuan laman pemerintah, berita dan media sosial seantero dunia mula kembali online pada Selasa (8 Jun) setelah dilanda gangguan yang meluas selama sejam yang dikaitkan dengan syarikat penyedia khidmat pengkomputeran awan (cloud) yang berpangkalan di Amerika Syarikat, Fastly.

Laman dengan jumlah trafik tinggi seperti Reddit, Amazon, CNN, PayPal, Spotify, Al Jazeera Media Network dan New York Times terjejas, menurut laman pengesan gangguan Downdetector.com. Laman-laman itu pulih daripada gangguan yang berlaku selama tempoh antara beberapa minit dengan sekitar sejam pada awal pagi di Amerika Syarikat tetapi pada tengah hari di Eropah.

"Rangkaian global kami sudah kembali online," umum Fastly.

Salah satu penyedia rangkaian penghantaran kandungan berasaskan awan yang paling luas digunakan di dunia, syarikat itu sebelumnya melaporkan gangguan akibat "konfigurasi perkhidmatan" namun tidak menjelaskan lanjut.

"Kejadian seperti ini menarik perhatian tentang kerapuhan internet dan kebergantungannya pada rangkaian teknologi yang berpecah-pecah. Ironinya, ini juga menunjukkan keutuhannya dan betapa pantas ia boleh pulih," kata Ben Wood, ketua penganalisis CCS Insight.

"Hakikat bahawa gangguan seperti ini dapat menjadi tajuk utama berita di seluruh dunia menunjukkan betapa jarangnya kejadian ini berlaku."

Konfigurasi perkhidmatan lazim bagi penyedia perkhidmatan awan boleh merangkumi kemas kini peraturan keselamatan untuk melindungi maklumat, atau arahan pelayan untuk memuat semula kandungan laman berita sebelum menyediakannya buat pelanggan, kata Andy Champagne, naib presiden kanan di Akamai, sebuah syarikat perkhidmatan awan.

Satu kesalahan tipo mudah boleh disebarkan kepada beribu pelayan dan menyebabkan gangguan, katanya.

Rangkaian penghantaran kandungan (CDN) Fastly membantu laman web memindahkan kandungan menggunakan laluan yang kurang sesak, membolehkan laman-laman itu diakses para pengguna dengan lebih cepat.

KESAN PADA PEMILIK WEB DAN PENGGUNA

Peguam Negara United Kingdom awal dari itu menulis di Twitter bahawa laman utama gov.uk negara itu tidak berfungsi, sambil menyediakan alamat emel untuk sebarang pertanyaan.

Gangguan itu mungkin menyebabkan masalah bagi warga yang menempah slot vaksinasi COVID-19 atau melaporkan hasil ujian, lapor Financial Times.

Laman yang dikendalikan oleh wadah berita termasuk Financial Times, Guardian dan Bloomberg News juga mengalami gangguan.

Sebilangan besar laman yang terjejas meraih pendapatan daripada pengiklanan digital. Di seluruh dunia, laman web kehilangan pendapatan iklan digital lebih AS$29 juta (S$38.4 juta) setiap jam semasa gangguan berlaku, menurut anggaran kasar oleh firma pengukuran media Kantar.

Penerbit berita menggunakan kaedah lain untuk melaporkan tentang gangguan itu apabila laman mereka terjejas

Laman popular bagi perkembangan teknologi, Verge, menggunakan Google Docs untuk melaporkan berita, sementara Editor Teknologi UK di Guardian memulakan satu jalur Twitter untuk membuat liputan kejadian itu.

- Reuters/TQ/tq

Top