Skip to main content

Iklan

Iklan

Dunia

Lagi 10 orang dipercayai tertimbus akibat tanah runtuh

Sekurang-kurangnya 10 lagi pekerja asing yang bekerja di tapak pembinaan projek lebuh raya berkembar di Jalan Bukit Kukus, Paya Terubong di Pulau Pinang dikhuatiri masih tertimbus di bawah timbunan tanah runtuh.

Anggaran Waktu Membaca:
Lagi 10 orang dipercayai tertimbus akibat tanah runtuh

Operasi mencari dan menyelamat sedang dijalankan. (Gambar: Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia Negeri Pulau Pinang/Facebook)

Diterbitkan : 19 Oct 2018 10:47PM Dikemas Kini : 19 Oct 2018 10:54PM

GEORGE TOWN: Sekurang-kurangnya 10 lagi pekerja asing yang bekerja di tapak pembinaan projek lebuh raya berkembar di Jalan Bukit Kukus, Paya Terubong di Pulau Pinang dikhuatiri masih tertimbus di bawah timbunan tanah runtuh.

Pengarah Jabatan Bomba Dan Penyelamat Malaysia Pulau Pinang, Saadon Mokhtar, berkata daripada jumlah itu, tiga mangsa memang disahkan tertimbus berdasarkan keterangan isteri dan rakan masing-masing.

"Tiga yang disahkan tertimbus itu ialah dua lelaki Indonesia dikenali sebagai Bahktiar dan Sobri yang memang disahkan isteri mereka, manakala seorang lagi adalah lelaki Myanmar yang disahkan rakannya.

"Kami dimaklumkan terdapat tujuh lagi pekerja asing turut terperangkap dalam kejadian tanah runtuh itu, ini berdasarkan keterangan rakan-rakan mereka," kata Encik Saadon semasa sidang akhbar di tempat kejadian hari ini (19 Okt).

Dalam kejadian pada pukul 1.56 tengah hari itu, dua pekerja warga asing ditemui mati manakala seorang lagi cedera. Kedua-dua mangsa itu dikenali sebagai Samsul Asman, 19 tahun, dari Indonesia dan Attrul, 35 tahun, dari Bangladesh.

Dua mayat dijumpai berhampiran antara satu sama lain di bawah timbunan tanah runtuh sedalam lima meter itu, manakala mangsa yang cedera pula ditemui di bawah timbunan tanah tidak jauh dari dua mayat berkenaan.

Gambar tempat kejadian di Jalan Bukit Kukus. (Gambar: Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia Negeri Pulau Pinang/Facebook)

Terdapat banyak serpihan kontena dan pondok di kawasan kejadian.

Encik Saadon berkata setakat ini, pihaknya dapat mengesahkan enam kontena dan sebuah rumah kongsi yang terletak di tanah lapang berhampiran lereng bukit itu terlibat dalam kejadian tanah runtuh dan tidak menolak kemungkinan ada lagi kontena lain turut jatuh di bawah runtuhan tanah itu.

"Saya dimaklumkan ada juga pondok-pondok rumah kongsi yang dibina berhampiran kontena berkenaan namun saya tidak dapat sahkan berapa jumlah sebenar kerana semuanya telah tertimbus di bawah tanah runtuh," katanya

Beliau berkata tanah runtuh itu berlaku di bawah kawasan kontena dan rumah kongsi, menyebabkan pergerakan tanah yang mengakibatkan kontena dan rumah kongsi berkenaan menggelongsor jatuh kira-kira 50 meter.

Menurut Encik Saadon, Pasukan Khas Taktikal Operasi Penyelamat Malaysia (STORM) Jabatan Bomba dan Penyelamat Kedah dan Perlis turut membantu operasi mencari dan menyelamat yang dijangka diteruskan hingga lewat malam ini (19 Okt), bergantung kepada keadaan cuaca dan sumber pencahayaan.

Beliau berkata selain itu, pihaknya turut mendapat bantuan pasukan K-9 dari ibu pejabat bomba di Putrajaya yang dijangka tiba malam ini (19 Okt).

Beliau berkata operasi itu menghadapi beberapa kesukaran, antaranya keadaan tanah yang lembut, tiada laluan untuk jentera masuk ke tempat tanah runtuh dan buat masa ini, dipercayai masih terdapat pergerakan tanah di kawasan berkenaan.

"Ketika ini, 200 pegawai dan anggota terlibat dalam operasi yang turut dibantu pelbagai agensi, antaranya pihak polis, pasukan perubatan Kementerian Kesihatan, Angkatan Pertahanan Awam, Majlis Bandaraya Pulau Pinang, kontraktor projek dan pasukan bomba dan sukarelawan," katanya. 

Sumber : Bernama/AI/ai
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan