Images
  • msia covid (2)
    Orang ramai memakai pelitup di Kuala Lumpur, Malaysia, pada 21 Mei 2020. (Gambar: Mohd Rasfan/AFP)

Lagi 1 maut, 12 jangkitan COVID-19 dilapor di M'sia

KUALA LUMPUR: Sebanyak 12 kes positif COVID-19 dilaporkan di Malaysia pada Jumaat (31 Jul), melibatkan tujuh kes penularan dalam negara dan satu lagi kes kematian direkodkan, kata Ketua Pengarah Kesihatan Dr Noor Hisham Abdullah.

Beliau berkata perangkaan terkini itu menjadikan jumlah kumulatif kes positif sebanyak 8,976 kes, manakala jumlah keseluruhan kes yang maut akibat wabak itu adalah 125 kes.

“Daripada tujuh kes penularan di dalam negara, lima kes adalah dalam kalangan warga Malaysia dan dua kes adalah bukan warganegara,” katanya dalam satu kenyataan hari ini (31 Jul).

Memperincikan kes penularan dalam negara yang melibatkan lima warga tempatan, beliau berkata dua kes dikesan daripada Kluster PUI (pesakit dalam siasatan) Sivagangga di Kedah dan masing-masing satu kes di negeri Johor, Selangor dan Negeri Sembilan.

Kes di Johor itu dikesan melalui saringan prapembedahan di Hospital Sultan Ismail, kes di Selangor pula daripada saringan prapembedahan di sebuah pusat perubatan, manakala di Negeri Sembilan dikesan menerusi ujian saringan di lokap sebelum dipindahkan ke penjara.

KORBAN KE-15 ADALAH WARGA FILIPINA

“Bagi dua kes jangkitan dalam negara melibatkan bukan warganegara pula dikesan di Johor melalui ujian saringan prapembedahan dan satu kes kematian yang dikesan positif COVID-19 di Hospital Queen Elizabeth di Sabah,” katanya.

Mengenai kes kematian ke-125, Dr Noor Hisham berkata kes berkenaan membabitkan lelaki warga Filipina berumur 64 tahun dan mempunyai latar belakang penyakit jantung.

“Beliau mempunyai gejala demam, batuk dan sesak nafas pada 25 Julai lepas, namun tidak mendapatkan rawatan. Pada 29 Julai lepas, beliau ditemui dalam keadaan tidak sedarkan diri dan kemudiannya dibawa ke Hospital Queen Elizabeth, Sabah.

“Beliau telah disahkan meninggal dunia dan ujian saringan menunjukkan beliau adalah positif COVID-19,” katanya.

Dr Noor Hisham turut berkata lima daripada 12 kes baru dilaporkan itu merupakan kes import yang mendapat jangkitan di luar negara yang melibatkan dua warga tempatan dan tiga bukan warganegara yang dibenarkan masuk ke Malaysia.

“Kes import tersebut dari Indonesia (tiga), Qatar (satu) dan United Kingdom (satu),” jelasnya.

Sementara itu, beliau berkata sebanyak 27 kes sudah pulih COVID-19 menjadikan jumlah kumulatif kes yang sembuh kini 8,644 kes iaitu 96.3 peratus daripada jumlah keseluruhan kes.

“Oleh itu, jumlah kes aktif dengan kebolehjangkitan COVID-19 adalah 207 kes. Mereka telah diasingkan dan diberi rawatan,” tambahnya.

Sehingga kini, tiga kes positif COVID-19 sedang dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU) dan satu kes memerlukan bantuan pernafasan.


Muat turun aplikasi BERITAmediacorp bagi iOS atau Android dan langgani saluran Telegram kami bagi perkembangan terkini COVID-19: https://t.me/BERITAmediacorp

- BERNAMA/TQ/tq

Top