Skip to main content

Iklan

Iklan

Dunia

Ladang terapung pertama di dunia bakal dibuka di Rotterdam

Ladang tenusu luar pesisir yang pertama di dunia bakal dibuka di Pelabuhan Rotterdam pada tahun ini, yang bermatlamat untuk membantu bandar itu menghasilkan sendiri lebih banyak makanan secara mampan.

Anggaran Waktu Membaca:
Ladang terapung pertama di dunia bakal dibuka di Rotterdam

(Gambar: Christinne Muschi/Reuters)

Diterbitkan : 24 Oct 2018 05:42PM Dikemas Kini : 24 Oct 2018 05:54PM

BELANDA: Ladang tenusu luar pesisir yang pertama di dunia bakal dibuka di Pelabuhan Rotterdam pada tahun ini, yang bermatlamat untuk membantu bandar itu menghasilkan sendiri lebih banyak makanan secara mampan.

Namun, bolehkah ladang-ladang seumpama itu menghasilkan bekalan makanan yang mencukupi bagi memenuhi permintaan penduduk bandar yang semakin meningkat?

Beladon, sebuah syarikat hartanah yang berpangkalan di Belanda, akan melancarkan 'ladang terapung' - iaitu yang pertama di dunia - di pusat pelabuhan Rotterdam, lapor agensi berita BBC.

Syarikat itu sudahpun membangunkan sebuah pusat luar pesisir di tengah-tengah pusat pelabuhan Merwehaven di bandar itu. Pusat berkenaan akan digunakan untuk menternak 40 lembu Meuse-Rhine-Issel. Ia juga dilengkapi dengan robot bagi memerah susu lembu.

(Gambar: @floatingfarmnl/Instagram)

(Gambar: @floatingfarmnl/Instagram)

Kawasan bandar mungkin lokasi yang kurang sesuai untuk menempatkan ladang-ladang, namun ia dapat mengurangkan jarak perjalanan untuk menghantar makanan dari ladang sehingga ke meja makan para pelanggan dan ia dianggap munasabah dari segi sekitaran kerana ia dapat mengurangkan pencemaran pengangkutan.

Jika jumlah penduduk dunia meningkat kepada 9.8 bilion menjelang 2050 seperti yang diramalkan, 70 peratus daripada mereka dijangka akan tinggal di bandar - naik dari 55 peratus berbanding sekarang.

Oleh itu, ladang-ladang bandar - di mana tumbuh-tumbuhan dapat ditanam dalam rak-rak yang diletakkan di bawah lampu ultraunggu - kian meningkat.

Ladang Beladon, setinggi tiga tingkat dan berlabuh di dasar laut, dijangka dibuka menjelang hujung tahun ini dan berupaya menghasilkan sekitar 800 liter susu setiap hari.

(Gambar: @floatingfarmnl/Instagram)

(Gambar: @floatingfarmnl/Instagram)

Peter van Wingerden, seorang jurutera di syarikat Beladon, mendapat ilham bagi projek itu pada 2012 ketika di New York semasa menjalankan projek perumahan terapung di Sungai Hudson.

Pada mulanya, ramai yang menganggap idea beliau sebagai "ganjil, lucu atau tidak munasabah," kata Encik van Wingerder. Namun, sekarang mereka sudahpun mula menerima idea tersebut. 

BBC menukil beliau sebagai berkata: "Dengan permintaan yang semakin meningkat bagi makanan lebih sihat, pembandaran yang kian berkembang dan perubahan iklim, kita tidak boleh lagi bergantung kepada sistem-sistem penghasilan makanan yang lalu."

"Sekurang-kurangnya 80 peratus daripada makanan yang diberikan kepada lembu-lembu itu adalah sisa daripada industri makanan Rotterdam," kata pengurus besar ladang itu, Albert Boersen.

Apabila ia mula beroperasi kelak, ladang tenusu berkenaan juga akan menghasilkan dan mempasteurkan susu dan yogurt serta menjual produk itu di Rotterdam. Ia juga akan menghasilkan dan menjual bajanya sendiri. 

Ketua pasukan Pertubuhan Makanan dan Pertanian Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), Dr Fenton Beed, berkata ladang-ladang bandar adalah sesuatu yang berguna kerana ia tidak menggunakan terlalu banyak air, baja dan racun perosak berbanding sistem-sistem biasa.

Namun, beliau juga akur bahawa ruang yang terhad mungkin menghambat usaha menghasilkan jumlah makanan yang mencukupi bagi memenuhi permintaan penduduk bandar yang kian meningkat.

Encik Peter dan isterinya, Minke van Wingerden, yang juga adalah rakan niaganya sedang meninjau-ninjau peluang untuk membangunkan lebih banyak ladang terapung di merata negara itu dan juga di Asia, menurut laporan BBC.

"Kami berharap untuk membangunkan lebih banyak ladang terapung, namun kami juga mengalu-alukan orang lain yang ingin mengikut jejak langkah kami atau menghasilkan konsep-konsep bagi menyumbang kepada matlamat tersebut," kata Encik van Wingerden.

"Penghasilan makanan yang sihat dan mencukupi adalah kunci bagi mewujudkan sebuah dunia yang lebih baik, bersih dan selamat."   

Sumber : Agensi berita/AI/ai
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan