Images
  • LOREAL
    (Gambar: Reuters)

L'Oreal akan henti guna perkataan 'pemutih' dalam produk kulit

LONDON: L'Oreal, syarikat kosmetik terbesar dunia, tidak lagi akan menggunakan perkataan-perkataan merujuk kepada "putih" dan "cerah" pada produk-produk meratakan warna kulit wajah keluarannya, menurut seorang jurucakap pada Jumaat (26 Jun).

Langkah itu didedahkan sehari setelah syarikat Unilever membuat pengumuman serupa di tengah-tengah kritikan yang meningkat di media sosial.

Unilever dan L'Oreal adalah dua pemain besar dalam pasaran dunia bagi krim pemutih kulit yang digunakan di banyak negara-negara Asia, Afrika dan Caribbean di mana kulit cerah sering dianggap lebih menjadi idaman.

Unilever, khususnya, dikecam kerana jenamanya "Fair & Lovely" sedang perhatian dunia kini tertumpu kepada tunjuk perasaan yang tercetus setelah seorang lelaki kulit hitam, George Floyd mati semasa ditahan polis di Amerika Syarikat pada Mei.

Produk-produk L'Oreal termasuk krim pemutih kulit Garnier Skin Naturals White Complete Multi Action Fairness Cream.

Johnson & Johnson mengambil langkah lanjut dengan mengumumkan pihaknya akan berhenti menjual krim-krim pemutih kulit dijual di Asia dan Timur Tengah di bawah jenama-jenama Neutrogena dan Clean & Clear. 

- Reuters/TQ/na

Top